ISTANBUL: Polis anti-keganasan Turkey menahan 110 orang pada 19 Mei atas atas tuduhan menyokong operasi ISIS yang kebanyakannya menyasarkan Istanbul.

Agensi berita Anadolu melaporkan bahawa mereka merupakan anggota kumpulan ISIS yang disyaki merancang perhimpunan haram, mendidik kanak-kanak kecil dengan ideologi pengganas.

Mereka juga menjalankan kegiatan mengumpul dana untuk kumpulan itu, dan cuba merekrut anggota baru.

Menurut agensi itu, mereka ditangkap semasa serbuan serentak di tiga wilayah di Turkey, yang berpusat di Istanbul.

Hasil operasi itu, polis merampas empat senapang dan 90 peluru bersama dokumen dan bahan digital.

Kementerian Dalam Negeri Turkey menyatakan bahawa polis juga menahan 324 lagi orang dalam serbuan yang menyasarkan suspek Isis di 47 wilayah minggu lalu.

Sebelum ini, satu tindakan keganasan yang berkaitan dengan ISIS berlaku di luar konsulat Israel di Istanbul pada 7 April.

Dalam kejadian tembak menembak yang menyusul, seorang lelaki bersenjata terbunuh dan dua lagi cedera.

Menteri Dalam Negeri Turkey, Encik Mustafa Ciftci, berkata salah seorang daripada mereka dikaitkan dengan “sebuah organisasi yang mengeksploitasi agama”, yang menurut laporan media Turkey sebagai kumpulan ISIS.

Sementara itu, pada akhir Disember 2025, militan ISIS melepaskan tembakan ke arah polis di bandar Yalova di barat laut Turkey, membunuh tiga pegawai dan mencederakan sembilan yang lain.

Enam militan ISIS juga terbunuh dalam pertempuran selama beberapa jam berikutnya, dan Turkey menahan lebih 600 orang yang disyaki anggota kumpulan itu dalam operasi pada minggu-minggu berikutnya.

Pada 26 Disember lalu, media melaporkan bahawa pihak berkuasa Turkey telah menggagalkan rancangan serangan sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru selepas menahan lebih 100 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS.

Operasi besar-besaran itu dilaksanakan menerusi serbuan serentak di ratusan lokasi di Istanbul, dalam usaha mencegah ancaman terhadap orang awam, khususnya golongan bukan Islam.

Ketua Pendakwa Raya Istanbul pada 25 Disember memaklumkan bahawa serbuan dilakukan di 124 alamat di seluruh bandar itu, dengan pihak polis merampas senjata api, peluru serta dokumen yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti organisasi pengganas.

Dalam operasi tersebut, polis berjaya menahan 115 daripada 137 suspek yang dikehendaki, manakala usaha mengesan baki 22 individu masih diteruskan.

Pihak berkuasa berkata kebanyakan suspek dipercayai mempunyai hubungan langsung dengan anggota ISIS di luar Turkey. - Agensi berita