Topik diikuti
Pergi ke BHkuTurkey buka jalan damai selepas empat dekad konflik dengan militan Kurdi
ANKARA: Parlimen Turkey meluluskan undang-undang baharu yang bertujuan mempercepat proses damai dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), sekali gus membuka laluan kepada usaha menamatkan konflik bersenjata yang berlarutan lebih empat dekad dan meragut lebih 40,000 nyawa.
Undang-undang itu diluluskan pada 10 Ogos dengan 468 anggota Parlimen menyokong dan 88 menentang, menjadikannya langkah paling konkrit setakat ini oleh pemerintah Turkey untuk meletakkan proses damai yang bermula pada 2024 dalam kerangka perundangan rasmi.
Antara perkara utama yang diperuntukkan ialah kemungkinan membenarkan ribuan anggota PKK yang kini berada di luar negara, termasuk di Iraq dan Syria, kembali ke Turkey.
PKK dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Turkey, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
Undang-undang itu mendapat sokongan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, rakan gabungan pemerintah serta parti terbesar yang mewakili kepentingan masyarakat Kurdish.
Pemerintah menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk menamatkan ancaman pengganasan dan memperkukuh kestabilan Turkey ketika rantau Timur Tengah terus berdepan ketidaktentuan.
Timbalan Pengerusi AKP, Encik Efkan Ala, berkata undang-undang itu bertujuan memastikan keselamatan dalam negara supaya Turkey berada dalam kedudukan lebih kukuh menghadapi pergolakan serantau.
“Ini bertujuan mengubah keadaan di mana semua pihak mengalami kerugian kepada keadaan di mana semua pihak mendapat manfaat,” katanya dalam wawancara televisyen sebelum pengundian.
“Semua senjata akan diserahkan dan kumpulan itu akan dibubarkan sepenuhnya.”
Di bawah undang-undang baharu itu, Majlis Keselamatan Negara Turkey perlu mengesahkan bahawa PKK sudah menyerahkan senjatanya sebelum langkah selanjutnya boleh dilaksanakan.
Sebuah jawatankuasa yang dianggotai pegawai kanan pemerintah serta ketua perisikan Turkey turut akan dibentuk bagi menyelia proses berkenaan, termasuk kepulangan anggota PKK dari negara jiran.
Undang-undang itu tidak menawarkan pengampunan menyeluruh.
Sebaliknya, kelonggaran diberikan kepada anggota PKK yang tidak terbabit dalam pembunuhan.
Hukuman penjara mereka boleh digantung, manakala mereka yang berada dalam buangan diberi tempoh enam bulan untuk pulang ke Turkey tanpa menghadapi pendakwaan.
Mereka yang tidak melakukan kesalahan baharu juga akhirnya boleh diberikan hak untuk menyertai kegiatan politik.
Peruntukan itu turut menimbulkan kemungkinan pembebasan salah seorang ahli politik Kurdi paling terkenal di Turkey, Encik Selahattin Demirtas.
Bekas pemimpin parti pro-Kurdi itu dipenjarakan sejak 2016 atas beberapa pertuduhan, termasuk menyokong keganasan dan menghina Encik Erdogan.
Pertubuhan hak asasi manusia dan badan perundangan Eropah sebelum ini mempertikaikan pendakwaannya dengan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.
Bagaimanapun, pegawai pemerintah belum menyatakan sama ada Encik Demirtas akan dibebaskan berdasarkan undang-undang baharu itu.
Undang-undang tersebut juga tidak mengubah kedudukan mereka yang dikehendaki atau disabitkan atas jenayah ganas serta individu yang mempunyai sabitan sebelum Jun 2005.
Ini bermakna pemimpin PKK, Encik Abdullah Ocalan, 77 tahun, tidak layak mendapat kelonggaran itu.
Encik Ocalan menjalani hukuman penjara seumur hidup sejak 1999 dan sebahagian besar tempoh tahanannya dihabiskan dalam keadaan hampir terasing di sebuah penjara pulau di selatan Istanbul.
Beliau memainkan peranan penting dalam proses damai apabila pada 2025 menyeru PKK supaya meletakkan senjata.
Menurutnya, perjuangan bersenjata bagi memperjuangkan hak masyarakat Kurdi tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa dan kemajuan selanjutnya perlu dicapai melalui saluran politik.
PKK kemudian mengumumkan pada Mei 2025 lalu bahawa ia menerima seruan tersebut.
Dua bulan kemudian, kumpulan itu mengadakan upacara di utara Iraq dengan anggotanya membakar senjata dalam satu tindakan simbolik sebagai sebahagian proses pelucutan senjata.
Proses damai itu bagaimanapun terus berdepan tentangan daripada sebahagian ahli politik nasionalis yang berpendapat langkah tersebut memberikan terlalu banyak kelonggaran kepada anggota PKK.
Mereka turut menuduh Encik Erdogan menggunakan proses berkenaan untuk menarik sokongan pengundi Kurdi.
Pengerusi Parti Iyi, Encik Musavat Dervisoglu, menyifatkan undang-undang itu sebagai satu “pengkhianatan”.
“Keganasan tidak berakhir,” katanya ketika berucap di Parlimen sebelum pengundian.
Beliau mendakwa langkah itu akan membolehkan PKK “melakukan melalui politik apa yang tidak dapat dilakukannya dengan senjata”.
PKK sendiri turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa aspek undang-undang itu.
Dalam kenyataan sebelum pengundian, kumpulan berkenaan mengkritik kegagalan undang-undang tersebut membebaskan Encik Ocalan atau memberinya peranan rasmi dalam proses pelucutan senjata.
PKK juga mendakwa perundangan itu belum menangani secara menyeluruh isu penyertaan masyarakat Kurdish dalam kehidupan sosial dan politik Turkey.
Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menyeru penyokongnya supaya menentang undang-undang tersebut.
PKK ditubuhkan sebagai gerakan pemisah yang pada awalnya mahu mewujudkan sebuah negara Kurdish merdeka di wilayah yang merangkumi tenggara Turkey.
Encik Ocalan kemudian mengubah haluan ideologi kumpulan itu dengan memberikan lebih tumpuan kepada usaha memperluas hak masyarakat Kurdish di negara tempat mereka menetap, termasuk Turkey, Iraq, Syria dan Iran.
Masyarakat Kurdi di Turkey sejak sekian lama berdepan sekatan terhadap bahasa dan tradisi budaya mereka.
Sebahagian sekatan itu sudah dilonggarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi aktivis dan ahli politik Kurdi terus menuntut ruang lebih luas bagi pendidikan dan penyiaran dalam bahasa Kurdi.
Mereka juga membantah tindakan pemerintah yang kerap menggugurkan datuk bandar Kurdi yang dipilih rakyat atas dakwaan mempunyai hubungan dengan PKK.
Kelulusan undang-undang terbaru itu kini meletakkan proses damai pada fasa penting, dengan kejayaannya bergantung kepada pelucutan senjata PKK, kepulangan anggotanya dan sejauh mana kedua-dua pihak dapat mengalihkan konflik berdekad-dekad itu daripada medan bersenjata kepada proses politik. - Agensi berita
