Topik diikuti
Pergi ke BHkuTurkey, Pakistan kerah tentera ke Arab Saudi susuli peningkatan serangan Houthi
Tentera Yaman dakwa rampas semula bandar pelabuhan strategik Mocha daripada Houthi
Turkey, Pakistan kerah tentera ke Arab Saudi susuli peningkatan serangan Houthi
RIYADH: Turkey dan Pakistan akan mempercepatkan pengerahan tentera serta aset pertahanan ke Arab Saudi di bawah pakatan pertahanan bersama tiga negara itu, ketika kerajaan Teluk berkenaan berdepan peningkatan serangan kumpulan Houthi dari Yaman.
Arab Saudi, Pakistan dan Turkey pada 6 Oktober bersetuju mengaktifkan Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah, yang ditandatangani pada Ogos lalu dan menetapkan bahawa ketiga-tiga negara akan saling membantu sekiranya salah satu daripada mereka diserang.
Keputusan itu dicapai selepas pegawai kanan politik dan tentera ketiga-tiga negara itu mengadakan mesyuarat tergempar di Riyadh bagi membincangkan keadaan keselamatan Arab Saudi menyusuli peningkatan serangan rentas sempadan Houthi.
Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga negara menegaskan penolakan tegas terhadap “sebarang serangan atau ancaman terhadap keselamatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi”.
Mereka turut bersetuju melaksanakan dengan segera komitmen pertahanan bersama serta mengambil langkah yang diperlukan untuk menyediakan pasukan tentera dan keupayaan pertahanan yang dipersetujui.
Langkah itu termasuk memastikan pasukan berkenaan dapat dikerahkan dengan pantas ke Arab Saudi jika diperlukan.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyatakan jumlah anggota tentera Turkey dan Pakistan yang akan dihantar atau tugas khusus yang akan dilaksanakan mereka selepas tiba di Arab Saudi.
Pakatan itu menghimpunkan tiga kuasa tentera utama dunia Islam – Turkey, yang mempunyai angkatan tentera kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato); Pakistan, satu-satunya negara Islam yang memiliki senjata nuklear; serta Arab Saudi, antara kuasa tentera dan ekonomi utama di rantau Teluk.
Perkembangan terbaru itu berlaku ketika konflik Yaman kembali memuncak dan serangan Houthi terhadap Arab Saudi semakin meningkat.
Dalam mesyuarat di Riyadh, ketiga-tiga negara turut membincangkan serangan terbaru terhadap Arab Saudi, termasuk insiden yang menyasarkan Makkah dan Madinah.
Kenyataan bersama mereka itu bagaimanapun tidak secara khusus menamakan Houthi yang disokong Iran sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Houthi pada 5 Oktober mendakwa melancarkan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, sebuah loji penapisan milik syarikat minyak negara Saudi Aramco serta beberapa sasaran lain di selatan Arab Saudi.
Letupan kuat dilaporkan kedengaran di Riyadh pada petang 5 Oktober.
Serangan itu berlaku ketika pertempuran di Yaman semakin sengit dan kini menjadi antara medan paling aktif dalam konflik lebih luas di Timur Tengah.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 184,000 orang di Yaman terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran terbaru itu.
Houthi sebelum ini menguasai sebahagian besar utara Yaman, termasuk ibu negara Sana’a dan bandar pelabuhan Hodeida, tetapi memperluas wilayahnya bulan lalu dengan menawan kawasan di sepanjang pantai Laut Merah serta berhampiran Selat Bab el-Mandeb.
Selat itu merupakan laluan strategik bagi perdagangan dan perkapalan antarabangsa yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Pasukan yang disokong Arab Saudi pada 5 Oktober telah melancarkan serangan balas bagi merampas semula kawasan yang dikuasai Houthi, termasuk wilayah yang berada di bawah kawalan kumpulan itu selama lebih sedekad.
Jurucakap pakatan tentera pimpinan Arab Saudi, Encik Turki Al-Malki, berkata tentera lautnya menyerang “sasaran ketenteraan” Houthi di Hodeida.
Menurut beliau, serangan itu telah memusnahkan depot senjata dan kemudahan menyimpan bot yang dipasang bahan letupan dan periuk api laut, selain menggagalkan rancangan serangan terhadap laluan perkapalan di selatan Laut Merah.
Tentera itu kemudian mendakwa berjaya mengusir Houthi dari kawasan sekitar Bab el-Mandeb, termasuk bandar pelabuhan Mocha, lapangan terbang Dhubab dan kem tentera Al-Omari.
Pasukan pemerintah Yaman turut mendakwa telah mengusir Houthi dari beberapa kawasan di Taiz, barat daya negara itu, yang menyaksikan pertempuran sengit sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, sumber tentera belum mengesahkan sepenuhnya bahawa Mocha sudah ditawan semula, sebaliknya berkata pasukan propemerintah berjaya memutuskan satu-satunya laluan bekalan Houthi ke pelabuhan tersebut.
Pemerintah Yaman yang disokong Riyadh sebelum ini mengumumkan matlamat untuk merampas kembali semua wilayah yang dikuasai Houthi.
PBB pula menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak pertempuran dan mengecam serangan rentas sempadan Houthi terhadap Arab Saudi.
Selain bandar dan kemudahan awam, serangan Houthi berulang kali menyasarkan prasarana minyak Arab Saudi serta kapal tangki di Laut Merah.
Seorang sumber sektor tenaga Arab Saudi berkata serangan pada 4 Oktober sekali lagi menyebabkan operasi pengepaman minyak mentah melalui saluran paip Timur-Barat ke Laut Merah dihentikan.
Saluran itu menjadi semakin penting kepada eksport minyak Saudi sejak Selat Hormuz disekat Iran menyusuli tercetusnya konflik lebih luas di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Encik Amin Nasser, turut memberi amaran bahawa simpanan minyak dunia berada pada paras yang membimbangkan ketika peperangan terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga.
“Sistem itu sudah pun berada dalam keadaan tertekan,” katanya pada Forum Perisikan Tenaga di London. – Agensi berita.