ANKARA: Lebih 500 individu, termasuk pemimpin utama parti pembangkang di Turkey, telah ditahan dalam tempoh sembilan bulan lalu, menurut semakan mendalam oleh Reuters terhadap siasatan besar-besaran yang kini semakin dipercepatkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, mendakwa siasatan ini menyasarkan apa yang beliau gelar sebagai rangkaian rasuah — “umpama sotong kurita dengan lengan yang memanjang ke seluruh Turkey dan ke luar negara.”
Siasatan yang bermula di Istanbul kini telah merebak ke pelbagai wilayah dan hanya menumpukan kepada majlis-majlis tempatan yang ditadbir oleh Parti Rakyat Republikan (CHP), parti pembangkang utama yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Ataturk, pengasas negara Turkey moden. CHP menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha terbuka untuk menghapuskan pilihan demokratik rakyat Turki — tuduhan yang dinafikan oleh pemerintah.
Tindakan keras ini memperkukuh lagi genggaman kuasa dua dekad Encik Erdogan pada ketika pengaruh Turki dalam geopolitik serantau, khususnya di Timur Tengah dan Eropah, sedang meningkat. Justeru, para diplomat dan penganalisis percaya reaksi daripada sekutu Barat terhadap krisis ini kekal sederhana, meskipun ia dilihat sebagai ancaman nyata terhadap demokrasi dan mencetuskan protes jalanan pada musim bunga lalu.
Hasil semakan fail-fail mahkamah dan pendedahan rasmi pemerintah menunjukkan bahawa 14 datuk bandar yang dipilih melalui CHP — termasuk Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang juga pencabar utama Erdogan — serta lebih 200 ahli parti dan pegawai tempatan telah dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan.
Tidak pernah sejak era rampasan kuasa pada 1960-an hingga 1980-an, pemimpin politik berprofil tinggi disingkirkan berdasarkan bukti yang belum didedahkan kepada umum. Peguam kepada para suspek menyifatkan bukti tersebut sebagai rekaan.
“Siasatan ini lebih merupakan alat politik untuk melumpuhkan lawan, bukannya penyiasatan objektif terhadap fakta,” kata bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Encik Ertugrul Gunay, yang pernah berkhidmat dalam kabinet Erdogan antara 2007 dan 2013.
Encik Gunay meletakkan jawatan daripada Parti AKP selepas ribuan rakyat ditahan susulan protes Gezi Park pada 2013. Menurutnya, meskipun skala tindakan terkini lebih kecil, ia lebih tajam dalam menyasarkan pembangkang yang semakin mendapat sokongan rakyat.
“Ia mencerminkan keresahan dan panik parti pemerintah menjelang pilihan raya akan datang,” kata beliau kepada Reuters.
Encik Erdogan dan para menterinya berulang kali menafikan dakwaan campur tangan kehakiman, dengan menyatakan bahawa mahkamah adalah bebas dan memerlukan masa untuk menilai bukti secara adil. Menurut mereka, kritikan terhadap siasatan ini berpunca daripada kegagalan pembangkang menguruskan isu dalaman dan salah laku mereka sendiri.
“Ini adalah proses perundangan, bukan proses politik. Kami tidak terlibat dalam sebarang aspek siasatan ini,” kata Encik Erdogan kepada ahli Parlimen AKP pada 9 Julai.
Tumpuan siasatan ini ialah Encik Imamoglu, Datuk Bandar Istanbul yang mentadbir bandar dengan lebih 17 juta penduduk. Beliau ditahan pada Mac atas tuduhan rasuah yang beliau nafikan.
Encik Ekrem Imamoglu ialah calon presiden pilihan CHP dalam pilihan raya akan datang. Penahanannya mencetuskan protes terbesar sejak insiden Gezi serta menjatuhkan nilai lira secara mendadak, walaupun keadaan kini kembali stabil.
Menurut kajian Reuters, lebih 500 orang telah ditahan dan disoal siasat sejak siasatan dimulakan pada Oktober lalu, termasuk sekurang-kurangnya 202 orang dalam tempoh seminggu kebelakangan ini. Daripada jumlah itu, lebih 220 telah dipenjara atau dikenakan tahanan rumah.
Laporan ini berdasarkan maklumat rasmi dan kompilasi laporan media oleh agensi berita Anadolu milik pemerintah. Pejabat Erdogan dan Kementerian Kehakiman tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan rasmi Reuters untuk mengesahkan angka penahanan atau mengulas dapatan laporan ini.
Reuters turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 36 individu — kebanyakannya ahli perniagaan yang berurusan dengan pemerintah tempatan — telah memberikan kenyataan tambahan dari dalam penjara di bawah peruntukan “taubat berkesan” dalam undang-undang Turkey.
Susulan itu, 32 daripada mereka dibebaskan di bawah kawalan kehakiman. Kenyataan ini digunakan untuk mengenal pasti suspek lain, menurut pendedahan oleh pendakwa dan sumber berkaitan.
Sejak minggu lalu, siasatan telah diperluaskan ke Izmir, bandar ketiga terbesar Turkey, serta ke wilayah Antalya, Adana dan Adiyaman — semua kawasan yang dimenangi oleh CHP dalam pilihan raya majlis tempatan Mac lalu, yang menyaksikan kekalahan terbesar AKP.
Encik Erdogan sebelum ini telah menjangka lebih banyak tangkapan akan dilakukan. Beberapa hari selepas kenyataan beliau pada Mei lalu yang membandingkan rangkaian rasuah dengan “sotong kurita”, lima datuk bandar dari Istanbul dan Adana ditahan atas tuduhan rasuah.
Pihak berkuasa kemudiannya mengeluarkan senarai bekas datuk bandar daripada AKP yang pernah disabitkan kesalahan dalam kes berasingan, bagi menolak dakwaan bahawa hanya CHP menjadi sasaran. Namun, kebanyakan mereka disiasat selepas meninggalkan jawatan dan tidak dipenjara sewaktu proses siasatan.
Reuters juga mendapati tiada tindakan undang-undang diambil di 14 daerah Istanbul yang ditadbir oleh AKP dalam siasatan terbaharu ini.
Encik Mehmet Pehlivan, peguam kepada Encik Imamoglu yang turut ditahan bulan Jun lalu atas tuduhan menyertai kumpulan jenayah, berkata siasatan ini merupakan cubaan untuk menjadikan profesion guaman sebagai satu jenayah.“Tidak ada satu pun bukti kukuh terhadap anak guam saya,” katanya dari penjara. Sehingga kini, pendakwa raya masih belum mengeluarkan sebarang kertas pertuduhan rasmi.
Dalam satu dokumen siasatan, transkrip soal siasat polis sepanjang 121 muka surat menunjukkan bahawa Encik Imamoglu dituduh berkomplot dengan sekumpulan individu yang didakwa merancang urusan rasuah di sebuah kafe.
Polis bertanya mengapa telefon beliau disambungkan ke menara sel yang sama dengan individu tersebut lebih 150 kali. Encik Imamoglu menjawab bahawa rumahnya terletak berhampiran dengan kafe tersebut, maka sambungan itu adalah sesuatu yang normal.
Jurucakap pejabat pendakwa tidak memberikan sebarang komen terhadap soal siasat itu.
CHP menolak semua dakwaan rasuah terhadap pegawai mereka, tetapi berjanji akan menyiasat rakaman video yang disiarkan penyiar negara TRT, yang memaparkan timbalan datuk bandar Manavgat, wilayah Antalya, didakwa menerima rasuah.
Turkey sebelum ini menyaksikan gelombang penahanan besar-besaran melibatkan pemimpin pro-Kurdish, aktivis masyarakat sivil, pegawai tentera dan ahli kumpulan yang diharamkan — khususnya sepanjang pemerintahan Erdogan yang semakin autoritarian.
CHP, yang sebelum ini kurang menjadi sasaran, kini menjadi tumpuan utama siasatan. Walaupun pilihan raya presiden dijadualkan pada 2028, ia mungkin dipercepatkan jika Erdogan ingin bertanding semula, atau jika beliau berusaha meminda had dua penggal dalam perlembagaan.
Kesemua datuk bandar daripada CHP yang kini dipenjarakan atau dikenakan tahanan rumah termasuk 14 yang masih menunggu perbicaraan — menafikan sebarang salah laku berkaitan rasuah, jenayah politik atau keganasan. Beberapa daripada mereka telah digantung tugas.
Ketua CHP, Encik Ozgur Ozel, berkata dalam satu ucapan pada 6 Julai: “Datuk bandar kami kini menjadi tahanan rampasan kuasa terhadap parti peninggalan Ataturk,” kenyataan yang kemudiannya mencetuskan siasatan baharu atas tuduhan menghina presiden. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg