DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bakal keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), dalam langkah besar yang dijangka melemahkan pengaruh kumpulan pengeluar minyak itu di tengah-tengah krisis tenaga akibat perang Iran yang kian menekan pasaran sejagat.

Keputusan itu, yang diumumkan pada 28 April, turut menandakan perbezaan pendirian yang semakin jelas antara UAE dengan Arab Saudi, jiran Teluknya yang dianggap sebagai peneraju utama Opec.