Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga minyak mentah naik 1% susulan peningkatan pengeluaran Opec+ yang lebih rendah dari jangkaan

Peningkatan keluaran Opec+ lebih rendah daripada jangkaan
Oct 6, 2025 | 12:08 PM
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak Plus (Opec+) mengumumkan pada 5 Oktober mereka akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari (bpd) mulai November.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak Plus (Opec+) mengumumkan pada 5 Oktober mereka akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari (bpd) mulai November. - Foto REUTERS

Harga minyak mentah meningkat sekitar 1 peratus pada awal dagangan 6 Oktober.

Ia berlaku selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) Plus (Opec bersama Russia dan beberapa negara pengeluar minyak mentah lebih kecil, Opec+) mengumumkan peningkatan bulanan dalam pengeluaran yang lebih sederhana daripada jangkaan.

Pengumuman itu sekali gus meredakan kebimbangan terhadap kemungkinan lebihan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 63 sen, atau 1 peratus, kepada AS$65.16 ($84) setong pada 7.10 pagi, 6 Oktober waktu tempatan (23.10 GMT, 5 Oktober).

Manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat meningkat 58 sen, atau 1 peratus, kepada AS$61.46 setong.

“Lonjakan harga ini didorong terutamanya oleh keputusan Opec+ untuk melaksanakan peningkatan pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan bagi November, sebagai langkah menstabilkan pasaran minyak yang baru-baru ini mengalami kejatuhan,” kata penganalisis bebas, Cik Tina Teng.

Namun, beliau menambah bahawa harga minyak mentah dijangka kekal lemah berikutan prospek ekonomi sejagat yang suram.

Opec+ mengumumkan pada 5 Oktober ia akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 137,000 tong sehari (bpd) mulai November, peningkatan bulanan sederhana sama seperti pada Oktober, menyusuli kebimbangan berterusan mengenai kemungkinan terjadi lebihan bekalan.

Opec terdiri daripada 12 negara anggota pengeksport minyak mentah – lima dari Timur Tengah, enam dari Afrika, dan satu dari Amerika Selatan. 

Selain itu, 11 negara bukan anggota Opec, termasuk Russia serta pengeksport kecil seperti Malaysia dan Brunei, turut menyertai inisiatif Opec+ yang diketuai pertubuhan itu.

Menjelang mesyuarat tersebut, sumber berkata Russia mencadangkan peningkatan pengeluaran sebanyak 137,000 bpd bagi mengelakkan tekanan terhadap harga.

Namun, Arab Saudi dikatakan lebih cenderung kepada dua, tiga atau empat kali ganda angka tersebut untuk mempercepat pemulihan penguasaan pasaran.

“Keputusan Opec+ untuk menambah pengeluaran sebanyak 137,000 bpd lagi pada November mungkin boleh dijalankan, memandangkan gangguan bekalan semakin meningkat akibat sekatan ketat yang dikenakan oleh Amerika dan Eropah terhadap Russia dan Iran,” kata penganalisis ANZ dalam satu nota pada 6 Oktober.

Para penganalisis itu menambah, sementara itu, Ukraine terus meningkatkan serangannya terhadap prasarana tenaga Russia, menyasarkan loji penapisan Kirishi, salah satu loji penapisan terbesar Russia dengan kapasiti pengeluaran tahunan melebihi 20 juta tan.

Menteri-menteri kewangan negara Kumpulan Tujuh (G7) pada minggu lalu berkata mereka akan mengambil langkah untuk meningkatkan tekanan terhadap Russia dengan menyasarkan pihak yang terus membeli minyak Russia, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memotong sumber pendapatan Russia berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg