Topik diikuti
Pergi ke BHkuUAE siasat kaitan pengganasan dalam kes pembantu juruterbang tikam kapten Flydubai
Netanyahu dakwa pembantu juruterbang radikal Islamis, cuba jatuhkan pesawat ‘bencana 9/11’ di udara
UAE siasat kaitan pengganasan dalam kes pembantu juruterbang tikam kapten Flydubai
ABU DHABI: Pihak berkuasa Amiriah Arab Bersatu (UAE) sedang menyiasat motif seorang pembantu juruterbang yang didakwa menikam kapten pesawat Flydubai dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv, sehingga mencetuskan kecemasan di udara sebelum pesawat itu selamat mendarat di Arab Saudi.
Siasatan kini tertumpu kepada sama ada kejadian pada 30 September itu mempunyai kaitan dengan pengganasan, selepas penumpang dan anak kapal bertindak menundukkan pembantu juruterbang berkenaan dan dua juruterbang simpanan mengambil alih kawalan pesawat.
Penerbangan FZ1073 yang membawa lebih 170 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 7.05 pagi waktu tempatan menuju Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel.
Kira-kira dua jam kemudian, pesawat itu dilaporkan menjunam lebih 17,000 kaki (5,200 meter) dalam tempoh singkat sebelum menghantar isyarat kecemasan.
Selepas memasuki ruang udara Jordan seketika, pesawat berpatah balik ke arah Arab Saudi sebelum melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Tabuk, di barat laut negara itu.
Menurut saksi dan pegawai, kapten pesawat, Encik Smit Machchhar, seorang warga India, ditikam oleh pembantu juruterbang ketika penerbangan sedang berlangsung.
Beberapa penumpang Israel dan anggota kru kemudian menyerbu kokpit dan berjaya menundukkan suspek, manakala dua juruterbang simpanan yang berada dalam pesawat mengambil alih kawalan serta menstabilkannya sebelum melakukan pendaratan dengan selamat.
Seorang doktor gigi yang berada dalam penerbangan itu turut memberikan rawatan kecemasan kepada Encik Machchhar, yang dilaporkan mengalami pendarahan banyak akibat kecederaannya.
Beliau pada mulanya menerima rawatan di Arab Saudi sebelum diterbangkan ke Abu Dhabi.
Kedutaan India di UAE berkata beliau berada dalam keadaan baik dan sedang pulih.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata siasatan awal menunjukkan pembantu juruterbang itu, yang menurut pegawai Israel merupakan warga Oman, mungkin mempunyai motif ideologi.
Dalam wawancara dengan Fox News, Encik Netanyahu mendakwa maklumat peribadi suspek menunjukkan beliau pernah melalui proses “indoktrinasi radikal Islamis”.
Namun, beliau mengakui siasatan masih berlangsung dan berkata terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad mengenai motif serangan itu.
Menurut Encik Netanyahu, selepas ditundukkan dan diikat, suspek didakwa meminta kru membunuhnya.
Beliau berkata keadaan itu menimbulkan kemungkinan bahawa suspek berniat membunuh diri dan mungkin cuba menjatuhkan pesawat.
Dakwaan mengenai motif tersebut belum disahkan secara bebas.
UAE berkata ia akan mengetuai siasatan kerana pesawat Flydubai itu didaftarkan di negara tersebut dan beroperasi di bawah benderanya.
Pihak berkuasa UAE berkata siasatan akan menentukan sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan atau tujuan penggansan selain cuba memastikan sama ada pembantu juruterbang berkenaan bertindak bersendirian.
Antara persoalan utama ialah sama ada suspek benar-benar mahu menjatuhkan pesawat, mengambil alih kawalan untuk membawanya ke negara lain atau mempunyai rancangan berbeza.
Sumber keselamatan Israel pula memberitahu BBC Arabic bahawa siasatan awal Israel menunjukkan suspek mungkin berniat menjatuhkan pesawat.
Menurut sumber itu, agensi perisikan Israel, Mossad, menemu bual penumpang selepas mereka tiba di Tel Aviv bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai kejadian dalam pesawat.
Encik Netanyahu menyifatkan tindakan kapten, penumpang dan dua juruterbang simpanan sebagai faktor utama yang menghalang tragedi besar.
Encik Netanyahu memberitahu CNN bahawa tindakan mereka berjaya mengelakkan apa yang disifatkannya sebagai kemungkinan bencana seperti serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.
Encik Netanyahu dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, turut memuji keberanian Encik Machchhar dalam menghadapi serangan itu.
Duta India ke UAE, Encik Deepak Mittal, melawat kapten berkenaan di hospital pada Khamis dan berkata beliau berada dalam keadaan baik serta semakin pulih.
Dalam pada itu, persoalan turut timbul mengenai kehadiran seorang warga Oman sebagai juruterbang dalam penerbangan ke Israel, sedangkan Oman tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan negara itu.
Encik Netanyahu berkata terdapat kelemahan dalam prosedur sedia ada dan Israel serta UAE kini bekerjasama bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Arab Saudi berkata kapten dan pembantu juruterbang itu dihantar semula ke UAE pada pagi 1 Oktober selepas mendapat pelepasan daripada pasukan perubatan.
Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan beberapa pegawai UAE membangkitkan kemungkinan Iran mempunyai kaitan dengan kejadian itu, tetapi setakat ini tiada bukti muktamad diumumkan yang menghubungkan Teheran dengan serangan tersebut.
Encik Trump memberi amaran Iran akan menghadapi tindak balas keras sekiranya terbukti terbabit, manakala Encik Netanyahu berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada Teheran mempunyai sebarang peranan.
Susulan kejadian itu, Flydubai menggantung sementara penerbangan antara Dubai dengan Tel Aviv sementara syarikat penerbangan tersebut menjalankan siasatannya sendiri.
Syarikat penerbangan Israel termasuk El Al, Israir dan Arkia pula merancang penerbangan khas dari Dubai mulai 2 Oktober untuk membawa pulang penumpang Israel yang terkandas.
Kementerian Pengangkutan Israel turut meminta Etihad Airways menambah penerbangan antara Abu Dhabi dengan Tel Aviv sementara perkhidmatan Flydubai digantung. - Agensi berita