Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ubat batuk cetus maut: CEO, tiga pegawai firma dijel

Nov 2, 2023 | 3:57 PM
GAMBAR HIASAN: Ubat batuk dituang dalam ilustrasi gambar ini diambil pada 19 Oktober 2022.
GAMBAR HIASAN: Ubat batuk dituang dalam ilustrasi gambar ini diambil pada 19 Oktober 2022. - Foto REUTERS

JAKARTA: Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara terhadap ketua eksekutif dan tiga pegawai syarikat yang ubat batuknya dikaitkan dengan kematian lebih 200 kanak-kanak, kerana melanggar undang-undang keselamatan ubat-ubatan, kata peguam syarikat itu.

Syarikat Indonesia, Afi Farma, didakwa mengeluarkan ubat batuk sirap mengandungi bahan toksik berlebihan.

Menurut pendakwa raya, empat pegawai itu secara “sedar” tidak menguji ramuan tersebut, walaupun mereka mempunyai cara dan tanggungjawab untuk berbuat demikian.

Peguam syarikat itu, Encik Reza Wendra Prayogo, berkata mereka menafikan kecuaian dan syarikat tersebut sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Afi Farma, Arief Prasetya Harahap, dan tiga pegawai itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di bandar Kediri, di Jawa Timur, tempat syarikat itu berpangkalan.

Pendakwa raya, yang memohon hukuman penjara hingga sembilan tahun, berkata Afi Farma tidak menguji bahan yang dihantar pembekalnya, sebaliknya bergantung pada sijil yang diberi berhubung mutu dan keselamatan produk.

Encik Reza memberitahu agensi berita Reuters pada Oktober bahawa Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia, tidak memerlukan pembuat ubat melakukan ujian ketat terhadap ramuan.

Badan Pengawas Ubat dan Makanan

Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia berkata lebih 200 kanak-kanak berkemungkinan sudah diracuni.

Lesen tiga pengeluar berpangkalan di Indonesia – PT Yarindo Farmatama, PT Universal Pharmaceutical Industries dan PT AFI Farma – dibatalkan, manakala pengeluar PT Konimex berkata mereka menarik balik semua produk berkaitan dan laman webnya Januari lalu.

Kes itu berlaku sedang usaha berkembang di seluruh dunia untuk mengetatkan pengawasan rantaian bekalan ubat-ubatan, selepas gelombang keracunan yang dikaitkan dengan ubat batuk sirap tercemar, yang membunuh berpuluh-puluh kanak-kanak di negara seperti Gambia dan Uzbekistan.

Sejak 2001, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar usah memberi ubat batuk sirap kepada kanak-kanak berumur bawah lima tahun kerana bukti terhad tentang keberkesanannya atau kesan sampingan yang mungkin ada.

Ia juga menggesa semua negara meningkatkan pengawasan dan menawarkan sokongan kepada negara tidak mempunyai sumber untuk menguji ubat mereka. WHO sebelum ini menamakan sembilan negara yang ubat batuk sirap mungkin dijual, selepas kematian lebih 300 bayi pada 2022 yang dikaitkan dengan ubat itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg