Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ucap takziah pemimpin S’pura kepada AS

Feb 1, 2025 | 5:50 PM
Kren pengawal pantai digunakan bagi mengangkat bangkai helikopter tentera Black Hawk menyusuli nahas udara yang turut membabitkan pesawat penumpang American Airlines di Sungai Potomac.
Kren pengawal pantai digunakan bagi mengangkat bangkai helikopter tentera Black Hawk menyusuli nahas udara yang turut membabitkan pesawat penumpang American Airlines di Sungai Potomac. - Foto AFP

Singapura dan pemimpinnya telah menyampaikan ucapan takziah kepada Amerika Syarikat menyusuli kejadian nahas udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan di Virginia, yang mengorbankan 67 orang pada 29 Januari.

“Pemerintah Singapura menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada pemerintah Amerika dan kepada keluarga dan orang tersayang individu yang terkorban dalam nahas udara tragis antara pesawat American Airlines Penerbangan 5342 dan helikopter Black Hawk Tentera Amerika,” jelas jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 31 Januari.

Dalam suratnya pada 1 Februari kepada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian itu.

“Ingatan dan doa kami bersama mangsa dan keluarga mereka. Kami berharap mereka yang terjejas akan meraih ketenangan dan kekuatan menerusi sokongan orang tersayang dan masyarakat sekeliling,” kata Encik Wong.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, turut menghantar ucapan takziah kepada Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.

Dalam surat bertarikh 31 Januari, beliau melahirkan rasa dukacitanya kepada semua individu yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi ini.

Tiada warga Singapura yang terjejas akibat kemalangan itu sejauh ini, kata MFA, sambil menambah bahawa Kedutaan Singapura di Washington sedang berhubung dengan pihak berkuasa Amerika.

Nahas itu berlaku ketika jet penumpang yang dalam perjalanan dari Wichita, Kansas, menghampiri untuk mendarat di lapangan terbang. Pesawat itu bertembung dengan helikopter dan terhempas ke dalam Sungai Potomac.

Seramai 60 penumpang dan empat anak kapal berada di dalam jet itu, manakala helikopter itu membawa tiga tentera dalam penerbangan latihan.

Para penyiasat telah mendapatkan semula perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan daripada pesawat Bombardier CRJ700, serta kotak hitam helikopter, dan dijangka mengeluarkan laporan awal dalam masa 30 hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg