Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ucapan calon pasangan Trump jadi tumpuan sedang Biden positif Covid-19

Jul 18, 2024 | 3:01 PM
Calon naib presiden Republikan dan Senator Ohio, Encik JD Vance, menjadi tumpuan pada hari ketiga Konvensyen Kebangsaan Republikan apabila beliau menyampaikan ucapan kelak.
Calon naib presiden Republikan dan Senator Ohio, Encik JD Vance, menjadi tumpuan pada hari ketiga Konvensyen Kebangsaan Republikan apabila beliau menyampaikan ucapan kelak. - Foto EPA-EFE

MILWAUKEE (Amerika Syarikat): Calon naib presiden Amerika Syarikat Senator JD Vance, yang berucap di Konvensyen Kebangsaan Republikan pada 17 Julai yang menggambarkan bagaimana gerakan Encik Donald Trump, “Jadikan Amerika Hebat Semula” dan berjanji untuk “mengutamakan rakyat Amerika” mungkin menjadi paksi parti untuk tahun-tahun mendatang.

Dalam masa yang sama, pencabar Encik Trump dalam pilihan raya 5 November, Presiden Joe Biden, pula diuji positif untuk Covid-19 dan mengalami gejala ringan, kata Rumah Putih pada hari yang sama.

Encik Biden, 81 tahun, yang sedang dalam lawatan bagi kempen pilihan rayanya ke Las Vegas, kembali ke Delaware dan akan bekerja dari rumah sambil mengasingkan diri.

Penyakit itu merupakan perubahan terkini dalam kempen yang telah berubah secara dramatik empat hari lalu susulan percubaan membunuh Encik Trump semasa perhimpunan politik di Pennsylvania pada 13 Julai.

Encik Vance menjadi tumpuan utama di konvensyen Milwaukee yang menyaksikan Republikan berusaha mempamerkan perpaduan parti yang berbeza dengan Parti Demokrat.

Ucapannya menjadi detik paling banyak ditonton sepanjang konvensyen selama empat hari sebelum Encik Trump, 78 tahun, berucap pada malam 18 Julai.

Beliau secara rasmi menerima pencalonan Republikan untuk naib presiden pada 17 Julai, dan berjanji “mengutamakan rakyat Amerika”.

“Saya berdiri di sini dengan rendah hati dan penuh kesyukuran untuk mengatakan bahawa saya secara rasmi menerima pencalonan anda sebagai naib presiden Amerika Syarikat,” kata Encik Vance semasa ucapan pertamanya di Konvensyen Nasional Republikan di Milwaukee, Wisconsin.

“Tuan Presiden, saya tidak akan mengambil ringan kepercayaan yang anda berikan kepada saya.

“Ia adalah satu penghormatan untuk membantu mencapai visi luar biasa yang anda miliki untuk negara ini. Saya berjanji kepada setiap rakyat Amerika, tanpa mengira parti, bahawa saya akan memberikan segala yang saya ada,” katanya.

Encik Trump mengumumkan pada 15 Julai bahawa Encik Vance, 39 tahun, akan menjadi rakan sepasukannya untuk pilihan raya 2024, pada hari pertama Konvensyen Nasional Republikan, ketika parti itu secara rasmi mencalonkan Encik Trump sebagai calon Presidennya.

Dipilih ke Senat Amerika hampir dua tahun lalu, anggota Parlimen Ohio itu telah berusaha membina naluri populis Encik Trump ke dalam agenda dasar yang membayangkan Amerika memainkan peranan kurang dominan dalam hal ehwal sejagat.

Encik Vance telah menentang bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan mempertahankan percubaan mantan presiden itu untuk membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya 2020 kepada Encik Biden.

Encik Biden dilihat berjuang untuk kelangsungan politik selepas sesi perdebatan yang teruk menentang Encik Trump hampir tiga minggu lalu.

Ketika itu, Encik Biden kelihatan letih dan keliru, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai usianya.

Kegelisahan terhadap keadaan kesihatan Encik Biden kian memuncak sejak kebelakangan ini, sekali gus mendorong semakin ramai ahli Demokrat menggesa beliau untuk mengundurkan diri.

Perkembangan baru yang menyaksikan cubaan membunuh Encik Trump dan sokongan penuh Republikan terhadap Encik Trump sebagai calon presiden Amerika, turut mengubah sentimen perlumbaan untuk menguasai Rumah Putih.

Pada separuh usia Encik Trump, Encik Vance berpotensi mempunyai beberapa dekad di hadapannya untuk mempengaruhi Parti Republikan.

Beliau berpendapat pemerintah perlu berbuat lebih banyak untuk membantu kelas pekerja dengan menyekat import, menaikkan gaji minimum dan membanteras pemberian korporat.

Kedudukan tersebut bercanggah dengan pendirian properniagaan tradisional Parti Republikan, tetapi menyorot agenda Encik Trump dengan teliti.

Encik Trump dalam keadaan telinga kanannya masih berbalut selepas terkena peluru dalam serangan pada 13 Julai, menunjukkan tangan penumbuknya, mengucapkan “terima kasih” kepada orang ramai.

Semasa Konvensyen Nasional Republikan itu, video yang menyentuh hati dan penuh emosi mengetengahkan keluarga askar-askar terbunuh semasa pengunduran tentera Amerika dari Afghanistan pada 2021 turut dipaparkan.

Encik Biden dipersalahkan atas kematian mereka. Saudara-mara mereka kemudian naik ke pentas dan menyuarakan kemarahan mereka.

Beberapa penceramah turut melancarkan serangan agresif dan kadangkala tidak berasas terhadap pentadbiran Encik Biden.

Nada panas itu bercanggah dengan mesej perpaduan negara yang dijanjikan Encik Trump selepas percubaan membunuhnya di perhimpunan di Pennsylvania.

Encik Trump sering mendakwa, tanpa bukti, bahawa empat dakwaannya sejak melepas jawatan adalah sebahagian daripada konspirasi Demokrat untuk menghalang pemilihannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg