JAKARTA: Lebih enam juta penduduk Jakarta terjejas oleh jangkitan pernafasan akut yang dikaitkan dengan pencemaran udara yang semakin teruk di ibu negara, menurut Menteri Alam Sekitar Indonesia, Encik Hanif Faisol Nurofiq.
Encik Hanif berkata indeks kualiti udara di beberapa bahagian Jakarta, terutama di daerah utara, mencapai tahap berbahaya menjelang tengah hari 16 Julai.
Data daripada aplikasi pemantauan kualiti udara seperti IQAir, dan papan pemantau awam, menunjukkan tahap pencemaran yang sangat tinggi sehingga menimbulkan risiko kesihatan serta-merta.
“Sumber utama pencemaran udara Jakarta ialah pelepasan industri dan trak kontena,” kata Encik Hanif semasa sidang media di Jakarta.
Beliau berkata terdapat kira-kira 6,800 cerobong industri berdaftar di Jakarta dan kawasan sekitarnya.
Namun, jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi disebabkan banyak kemudahan seperti itu yang tidak berdaftar.
“Kami telah mula membanteras aktiviti pembakaran terbuka, terutama dalam industri logam dan peleburan bijih,” kata Encik Hanif, sambil melahirkan kebimbangan terhadap masalah tersebut.
Menteri itu menyatakan bahawa kesan sebenar krisis pencemaran dicerminkan dalam peningkatan jumlah kes jangkitan pernafasan di seluruh bandar.
Data kesihatan awal menunjukkan bahawa lebih daripada enam juta penduduk Jakarta mengalami masalah pernafasan akibat udara yang tercemar.
“Ini akan disahkan oleh Pejabat Kesihatan. Tetapi data awal menunjukkan lebih enam juta orang terdedah kepada jangkitan pernafasan akut, yang boleh memburukkan keadaan kesihatan sedia ada,” tambah Hanif.
Penyedia insurans kesihatan nasional Indonesia, BPJS Kesehatan, telah membelanjakan lebih daripada Rp 16 bilion ($1.36 juta) untuk menampung kos rawatan bagi mereka yang menghidap penyakit pernafasan yang berkaitan dengan pencemaran udara.
“Dan angka itu hanya berdasarkan tuntutan yang dibuat terhadap BPJS. Tidak semua orang dilindungi oleh BPJS, jadi jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi,” ujar Encik Hanif.
Beliau menegaskan bahawa pemerintah akan mengambil tindakan tegas dan sistematik untuk menangani krisis kualiti udara, termasuk penguatkuasaan terhadap pelaku pencemaran, semakan ke atas permit industri, dan mengetatkan peraturan pelepasan untuk kenderaan berat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg