Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ukraine serang Kursk di Russia demi keadilan: Zelenskiy

Aug 12, 2024 | 3:01 PM
Gambar yang diberi oleh Mayor Kursk, Encik Igor Kutsak, menunjukkan kerosakan pada bangunan dan kereta akibat serangan peluru berpandu Ukraine ke atas wilayah Russia itu pada 11 Ogos.
Gambar yang diberi oleh Mayor Kursk, Encik Igor Kutsak, menunjukkan kerosakan pada bangunan dan kereta akibat serangan peluru berpandu Ukraine ke atas wilayah Russia itu pada 11 Ogos. - EPA-EFE

KYIV: Presiden Volodymyr Zelenskiy berkata Ukraine melancarkan pencerobohan ke atas wilayah Russia untuk “menegakkan keadilan” dan menekan tentera Moscow, dalam pengakuan pertamanya mengenai serangan mengejut Kyiv ke dalam wilayah barat Kursk.

Tentera Moscow pada 11 Ogos terlibat dalam pertempuran sengit, yang memasuki hari keenam, terhadap pencerobohan terbesar Kyiv ke wilayah Russia sejak permulaan perang, yang menyebabkan bahagian barat daya Russia goyah sebelum bala bantuan mula tiba.

Pihak berkuasa Russia bergegas memindahkan penduduk dan mengenakan rejim keselamatan menyeluruh di tiga wilayah sempadan pada 10 Ogos.

Belarus, sekutu setia Moscow, juga menghantar lebih banyak tentera ke sempadannya dengan Ukraine, sambil menuduh Kyiv menceroboh ruang udaranya.

Dalam ucapan video setiap malamnya, Encik Zelenskiy berkata beliau telah membincangkan operasi itu dengan komander tertinggi Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi, dan berikrar akan bertindak balas selepas Russia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas jirannya itu pada Februari 2022.

“Ukraine membuktikan ia sememangnya boleh menegakkan keadilan dan memastikan jenis tekanan yang tepat ke atas penceroboh,” ujarnya.

Kementerian pertahanan Russia berkata pada 11 Ogos ia telah memusnahkan 14 dron Ukraine dan empat peluru berpandu balistik taktikal Tochka-U di wilayah Kursk, dan 18 dron ke atas wilayah lain Russia yang sering diserang Ukraine.

Ukraine paling banyak menduduki beberapa puluh kilometer persegi wilayah Russia tanpa membuat tuntutan ke atasnya, manakala Russia menguasai lebih 100,000 kilometer persegi wilayah Ukraine yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Encik Zelenskiy berkata Russia telah melancarkan hampir 2,000 serangan rentas sempadan ke atas wilayah Sumy Ukraine dari wilayah Kursk pada musim panas ini dan serangan sebegitu wajar mendapat respons Ukraine.

“Selain bedilan meriam, mortar dan dron, kami juga merekodkan serangan peluru berpandu, dan setiap serangan itu patut mendapat tindakan balas adil,” kata pemimpin Ukraine itu.

Sebelum ini, pegawai Kursk berkata 13 orang cedera di bandar itu selepas serpihan peluru berpandu Ukraine yang musnah jatuh ke sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg