WASHINGTON: Sidang puncak ulang tahun ke-75 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bertujuan memaparkan kejayaan pakatan tentera tersebut yang kini lebih besar dan lebih kuat.
Sebaliknya, para pemimpin Nato berkumpul di Washington dengan menghadapi beberapa kekalahan di Ukraine, selain cabaran pilihan raya di kededua bahagian Atlantik itu.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, yang sedang cuba mempertahan kerjaya politiknya selepas prestasi lemah dalam perdebatan dengan calon Republikan, Encik Donald Trump, akan mengalihkan tumpuannya daripada kempen pilihan raya untuk mengalu-alu pemimpin dari 32 negara anggota Nato selama tiga hari mulai 9 Julai.
Encik Biden juga menjemput pemimpin Australia, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan, menandakan peranan Nato yang kian meningkat di rantau Asia dalam menghadapi China yang semakin maju.
Namun, pemimpin yang dijangka paling menarik perhatian dalam sidang tersebut ialah Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, yang sedang mencari tanda sokongan kukuh kepada Ukraine, walaupun Nato tidak berhasrat menjemput negara itu menyertai pertubuhan tersebut.
Ditubuhkan pada 1949 untuk menyediakan pertahanan kolektif daripada serangan Soviet Union, Nato dari satu sudut kini kembali kepada misi asalnya apabila negara anggotanya bersatu menyokong Ukraine selepas ia diceroboh oleh Russia pada 2022.
Rakyat Ukraine menggembirakan sebahagian besar negara Barat setelah tenteranya menangkis pencerobohan Russia yang cuba mencapai kemenangan pantas.
Namun kini tentera Moscow masih terus bertempur dan mara ke kawasan timur.
Seorang pegawai Eropah akur bahawa suasana menjelang sidang kemuncak Nato itu kini lebih “suram” dengan Ukraine menghadapi keadaan semakin sukar di barisan depan pertempuran.
“Sidang ini sangat berbeza daripada rancangan awal kerana ia berlaku pada saat penting bagi keselamatan Eropah.
“Russia kini berada dalam keadaan yang agak selesa. Ia berfikir ia mampu menunggu sahaja,” kata pegawai tersebut yang tidak mahu dinamakan.
Pengarah program Eropah, Russia dan Eurasia di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Max Bergmann, berkata sidang tersebut diadakan pada “masa terbaik dan masa terburuk.”
“Ia masa terbaik kerana perikatan ini tahu apa isunya, iaitu menghalang Russia. Negara anggota perikatan itu kini berbelanja lebih (untuk mengalahkan Russia).
“Tetapi ia juga masa terburuk disebabkan perang di Ukraine, cabaran meningkatkan perbelanjaan pertahanan Eropah, dan keprihatinan mengenai sekiranya Amerika Syarikat boleh diharap (untuk memberi bantuan).”
Encik Trump, yang pernah melahirkan rasa kagum terhadap Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah lama mengkritik Nato sebagai beban kepada Amerika, yang membelanjakan jauh lebih banyak berbanding negara sekutu lain.
Calon presiden Republikan 2024 itu yang pernah melalui pendakwaan dalam penggal pertama kerana membekalkan senjata kepada Encik Zelensky, telah menegaskan bahawa beliau berupaya menghentikan perang di Ukraine.
Encik Trump menikmati “kemenangan tipis” ke atas Encik Biden dalam tinjauan pendapat baru-baru ini. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg