Umat Islam sambut hari raya ketiga dalam suasana sederhana
Umat Islam sambut hari raya ketiga dalam suasana sederhana
Konflik berterusan di Asia Barat, termasuk perang di Iran, serta ketegangan serantau pengaruhi perasaan umat Islam di seluruh dunia
GAZA/ISTANBUL: Dari solat di tengah runtuhan di Gaza hingga ke masjid-masjid besar di Istanbul, umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri sebagai penutup bulan Ramadan dalam suasana yang lebih sederhana tahun ini, dibayangi konflik dan ketegangan geopolitik.
Pada 22 Mac, umat Islam di beberapa kawasan termasuk Gaza masih meneruskan sambutan hari raya ketiga, meskipun dalam keadaan serba mencabar akibat konflik yang berterusan.
Aidilfitri lazimnya disambut dengan penuh kegembiraan, ditandai dengan solat berjemaah, kunjungan keluarga, perhimpunan sosial serta pemakaian pakaian baharu. Sambutan turut berlangsung di pelbagai negara seperti Mesir, selain komuniti Islam di Greece, Russia dan negara lain.
Namun tahun 2026 ini, suasana perayaan dilihat lebih suram apabila konflik berterusan di Asia Barat, termasuk perang di Iran, serta ketegangan serantau mempengaruhi perasaan umat Islam di seluruh dunia. Bagi ramai, Aidilfitri kali ini menjadi ruang untuk merenung penderitaan akibat peperangan yang menjejaskan kehidupan orang awam.
Di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, umat Islam menyambut Ramadan dalam suasana kebimbangan terhadap dasar imigresen yang ketat serta peningkatan sentimen anti-Islam, selain kegusaran terhadap ahli keluarga yang terkesan oleh konflik.
Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, menunaikan solat Aidilfitri pertamanya pada 20 Mac sejak memegang jawatan itu di sebuah taman awam di Brooklyn bersama ratusan jemaah.
Di Iran, perang yang berterusan menyebabkan gangguan besar terhadap kehidupan harian. Serangan udara hampir setiap hari di ibu kota Teheran sejak 28 Februari telah mengorbankan ramai, termasuk pemimpin tertinggi negara itu.
Walaupun berdepan risiko serangan, ribuan jemaah tetap menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Imam Khomeini di Teheran. Kekurangan ruang menyebabkan ramai terpaksa bersolat di kawasan luar masjid, dengan siaran televisyen menunjukkan keadaan sesak di sekitar kawasan tersebut.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, tidak menghadiri solat Aidilfitri tahun ini, manakala Ketua Kehakiman, Gholamhossein Mohseni-Ejei, hadir mengetuai jemaah.
Serangan udara dilaporkan berterusan di beberapa kawasan termasuk Teheran dan Isfahan, selain bandar lain seperti Arak, Zahedan dan Abadan yang turut mengadakan solat Aidilfitri.
Di Lebanon, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih sejuta penduduk terpaksa berpindah akibat serangan Israel yang semakin meluas.
Sudan pula terus berdepan krisis kemanusiaan terbesar di dunia apabila perang di negara itu memasuki tahun ketiga.
Di negara Teluk, kesan konflik turut dirasai melalui ketidakstabilan serantau, manakala harga tenaga global yang meningkat memberi tekanan kepada ekonomi. Walaupun berdepan cabaran, sambutan Aidilfitri tetap diteruskan dengan penuh semangat.
Di Mesir, perayaan dimulakan dengan solat berjemaah sebelum disusuli kunjungan ke rumah sanak saudara dan rakan-rakan, selain aktiviti pelancongan domestik. Kanak-kanak mengenakan pakaian baru dan menerima duit raya, manakala keluarga menyediakan kuih tradisional yang ditabur gula halus.
Di Arab Saudi, sambutan Aidilfitri berlangsung di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, dengan khutbah menekankan perpaduan, muhasabah diri dan tanggungjawab sosial. Pemimpin dunia Islam turut menyampaikan mesej perpaduan dan keamanan.
Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, berharap Aidilfitri membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada umat Islam.
“Saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat dan umat Islam di seluruh dunia, semoga ia kembali dengan kebaikan, kemakmuran dan keberkatan,” katanya.
Presiden Iraq, Dr Abdul Latif Jamal Rashid, pula menegaskan kepentingan perpaduan dalam menghadapi cabaran semasa.
“Dalam keadaan penuh ketidakpastian ini, adalah penting untuk kita memperkukuh perpaduan dan semangat solidariti,” katanya. – Agensi berita.

