BAITULMAKDIS: Umat Islam di seluruh dunia memperingati kelahiran Nabi Muhammad saw minggu ini dengan pelbagai acara keagamaan, termasuk bacaan Al-Quran, selawat, doa dan perhimpunan masyarakat, dengan tradisi sambutan berbeza mengikut negara dan budaya setempat.

Maulidur Rasul secara tradisi dikaitkan dengan 12 Rabiulawal, bulan ketiga dalam kalendar Islam, meskipun terdapat perbezaan pandangan mengenai tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad saw.

Tahun 2026 ini, sesetengah pihak menetapkan sambutan pada 25 Ogos selepas anak bulan yang menandakan permulaan Rabiulawal dilaporkan kelihatan pada awal bulan.

Di banyak negara majoriti Muslim, khususnya di Timur Tengah dan Afrika Utara, Maulidur Rasul turut diperingati sebagai cuti umum dan disambut dengan majlis keagamaan di masjid serta ruang awam.

Di Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis, Jabatan Wakaf Islam mengadakan majlis memperingati kelahiran Nabi Muhammad saw di ruang solat Al-Qibli pada 25 Ogos.

Majlis itu diserikan dengan selawat dan nyanyian keagamaan oleh kumpulan nasyid Islam, selain memaparkan kisah sirah dan perjalanan hidup Nabi Muhammad saw.

Sejumlah ulama dan tokoh Baitulmakdis menghadiri majlis tersebut bersama jemaah dan pengunjung Masjid Al-Aqsa.

Antara yang hadir ialah Sheikh Yusuf Abu Sneineh, Sheikh Mohammad Sarandah, Sheikh Azzam Al-Khatib dan Sheikh Omar Al-Kiswani.

Sambutan tahun ini turut berlangsung berdekatan ulang tahun ke-57 peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.

Tokoh agama dan masyarakat Baitulmakdis mengambil kesempatan itu untuk menyeru umat Islam supaya mengunjungi dan mengimarahkan Masjid Al-Aqsa.

Di Turkey, umat Islam memenuhi masjid di seluruh negara untuk menunaikan solat dan menghadiri program khas sempena Maulidur Rasul.

Di Istanbul, majlis bacaan Al-Quran diadakan sebelum solat isyak di beberapa masjid utama, termasuk Masjid Camlıca dan Eyupsultan, dengan penyertaan ramai jemaah.

Program diteruskan dengan nasyid, selawat dan syair keagamaan yang memuji Nabi Muhammad saw sebelum diakhiri dengan doa secara berjemaah.

Selepas program berakhir, petugas Direktorat Hal Ehwal Agama Turkey (Diyanet) turut mengagihkan minuman tradisional kepada jemaah di beberapa masjid bersejarah, termasuk Fatih, Eyüpsultan dan Sultanahmet.

Program serupa turut berlangsung di ibu kota Ankara dan wilayah lain di seluruh Turkey.

Tradisi Maulidur Rasul juga kekal kuat dalam kalangan masyarakat Islam di Afrika Timur.

Cik Khadijah, berkata sambutan Maulidur Rasul menjadi sebahagian daripada kehidupannya ketika membesar di Tanzania.

Menurutnya, masyarakat di sana lazimnya mengadakan perarakan besar, bacaan Al-Quran serta nyanyian keagamaan, yang menggabungkan amalan Islam dengan tradisi masyarakat Swahili dan budaya serantau.

“Kami membesar dengan Maulidur Rasul dan kerana dikelilingi sambutan seperti itu, saya fikir membaca syair dan memuji Nabi sebenarnya sesuatu yang indah,” katanya.

“Bagi saya, saya menantikan sambutan Maulidur Rasul, terutama apabila bersama masyarakat dan mendengar nasyid atau syair mengenai Nabi Muhammad. Ia membuatkan saya tersentuh setiap kali.”

Di Britain, tradisi itu turut diteruskan dalam kalangan masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang.

Pelajar universiti berketurunan Pakistan-Britain, Anika Khan, 20 tahun, berkata keluarganya dan anggota masyarakat biasanya berkumpul di rumah untuk membaca Al-Quran dan melantunkan syair serta puji-pujian kepada Nabi Muhammad saw.

Makanan dan hadiah turut diagihkan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada sambutan dan usaha menghayati ajaran Baginda.

Bagi masyarakat yang menyambutnya, Maulidur Rasul menjadi kesempatan untuk memperbanyakkan selawat, membaca Al-Quran, mempelajari sirah Nabi, bersedekah dan berkumpul bersama masyarakat bagi menghayati kehidupan serta ajaran Baginda. - Agensi berita