Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaulidur Rasul: Satukan umat melalui rahmah, ukhuwah
Majlis Maulidur Rasul bukan sekadar satu acara tahunan, ia lambang kecintaan dan penghormatan umat Islam terhadap Nabi Muhammad saw.
Di Singapura, sambutan ini menjadi tradisi masyarakat Islam yang menzahirkan rasa syukur dan kasih kepada Rasulullah melalui pelbagai bentuk pengisian rohani dan sosial.
Setiap tahun, hampir semua masjid di seluruh negara menganjurkan majlis Maulidur Rasul dengan pelbagai pendekatan; daripada perarakan, ceramah, selawat beramai-ramai, hinggalah program kebajikan masyarakat.
Tujuannya bukan hanya memperingati kelahiran Nabi, bahkan menghidupkan semangat ukhuwah dan perpaduan umat Islam.
Sambutan ini turut menjadi wadah untuk memperkukuh nilai-nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw seperti kasih sayang, keadilan, dan kepedulian terhadap sesama manusia.
Dalam masyarakat majmuk Singapura, Maulidur Rasul berperanan sebagai jambatan yang menyatukan pelbagai latar belakang bangsa dan budaya melalui mesej universal Islam, iaitu rahmah dan kedamaian.
Rasulullah saw banyak berkorban untuk umatnya, memperjuangkan hak Islam, meninggikan martabat dan menyebarkan agama yang sebenar-benarnya.
Memperingati pengorbanan baginda bukan hanya pada bulan Rabiulawal bahkan pada setiap langkah,tutur kata yang diajarkannya.
Dalam khutbah terakhirnya, Rasulullah saw berpesan:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara; jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunahku.”
Sambutan Maulidur Rasul di Singapura bukan sekadar mengenang kelahiran baginda, malah ia satu usaha berterusan untuk menanam nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian.
Ia mengingatkan kita, kecintaan kepada Rasulullah bukan hanya melalui perayaan, bahkan mencontohi akhlak, sunah, dan perjuangan baginda dalam membentuk masyarakat penuh rahmah, adil, dan harmoni.
Dengan itu, Maulidur Rasul menjadi tanda penyatuan umat Islam serta bukti ajaran baginda sentiasa relevan sepanjang zaman.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghadiri Majlis Maulid di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 22 Ogos 2026, bermula 6 pagi hingga 4.30 petang.
Pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang majlis ini, termasuk sesi bacaan Al-Quran, selawat beramai-ramai dan forum khas Muslimah.
Penulis merupakan Pegawai Dakwah (MRE) di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
SEKILAS
CARA MENDERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
2. Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
5. Kunjungi pejabat masjid, Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.
*Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.

