Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Raja Helikopter M’sia’ dinobat Tokoh Perdana Maulidur Rasul, pelakon Rahim Razali turut diiktiraf
SERDANG (Selangor): Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul Bagi Tahun 1448/2026 Kategori Tokoh Perdana, pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448/2026.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Syed Azman, 66 tahun, oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sambutan berkenaan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, pada 25 Ogos.
Antara sumbangan beliau dalam industri penerbangan adalah pencapaian Weststar dalam menyediakan lebih 40 helikopter untuk operasi minyak dan gas (O&G) yang mendorong media tempatan dan antarabangsa merujuk Syed Azman sebagai ‘Raja Helikopter Malaysia’.
Gelaran itu mencerminkan dominasi beliau dalam sektor penerbangan sokongan tenaga, serta kedudukan Weststar sebagai penyedia utama di rantau Asia Pasifik, lapor Kosmo!.
Walaupun sering dikaitkan dengan kekayaan dan pengaruh korporat, beliau tetap mengekalkan imej sebagai pemimpin yang rendah diri serta berhati-hati dalam memberi kenyataan media, selaras dengan latar ketenteraannya yang menekankan kerahsiaan dan urusan strategik.
Pemilik syarikat perkhidmatan helikopter, Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS), itu memberi tumpuan kepada sektor O&G dengan antara syarikat yang menjadi pelanggannya termasuk Petronas Carigali, Shell dan Tullow Oil.
Selain itu, beliau aktif terlibat dalam pelbagai inisiatif kebajikan dan sumbangan beliau merangkumi pembangunan prasarana masyarakat, bantuan bencana, sokongan kepada rumah anak yatim dan program kebajikan setempat.
Banyak inisiatif itu dijalankan secara senyap tanpa publisiti, selari dengan pendekatannya yang lebih suka bekerja di belakang tabir.
Malah, Syed Azman turut menyokong pembinaan dan penyelenggaraan surau serta masjid di beberapa kawasan, khususnya di Kedah dan Lembah Klang, sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada pembangunan masyarakat Islam.
Syed Azman berkata beliau tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan dan melihat pengiktirafan itu bukan hanya untuk dirinya, tetapi turut menghargai sumbangan pasukan yang bekerja bersamanya.
“Saya sampai sekarang macam tidak percaya. Saya tidak fikir saya layak. Ini satu pengiktirafan, bukan untuk saya sahaja tetapi untuk pasukan saya dan kerajaan terhadap sumbangan kami,” katanya.
Sementara itu, tokoh filem, seniman dan pengkarya veteran Malaysia, Datuk Rahim Razali, dipilih menerima Anugerah Zaid bin Thabit (Tokoh Pengamal Komunikasi dan Media) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H peringkat negeri Perak.
Datuk Rahim, 87 tahun, yang dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak, menerima anugerah tersebut yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Anugerah itu membolehkan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 dan pengulas sukan terkenal yang pernah berkhidmat sebagai pembantu penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 ($1,572) dan plak.
Datuk Rahim yang menubuhkan syarikat sendiri, Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd pada 1981, pernah membintangi filem ‘Abang’ dan ‘Abang 92’, berpengalaman menerbitkan 50 drama untuk RTM dan 15 filem dengan lapan filemnya pernah terpilih ke Festival Filem Tokyo di Jepun.
