Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undang-undang senjata api, antipengganasan New South Wales dilulus

Kerajaan Australia usaha sedaya upaya jamin keselamatan orang awam selepas insiden Pantai Bondi
Dec 24, 2025 | 3:10 PM
Bondi beach, new law, new south wales
Orang ramai meletakkan bunga sebagai mengenang dan menghormati mangsa yang maut dan terselamat dalam kejadian tembakan rambang di Pantai Bondi, Sydney, pada 14 Disember. - Foto REUTERS

SYDNEY: Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales, telah meluluskan undang-undang senjata api dan antipengganasan yang menyeluruh susulan tragedi tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi.

Undang-undang baru ini menggariskan sekatan lebih ketat ke atas pemilikan senjata api, melarang paparan simbol pengganas di khalayak, dan mengukuhkan kuasa polis untuk membendung demonstrasi.

Parlimen negeri New South Wales meluluskan rang undang-undang mengenai pengganasan dan pindaan undang-undang lain pada awal pagi, selepas Dewan Perwakilan mengesahkannya dengan majoriti 18 berbalas lapan undi.

Pemimpin New South Wales, Encik Chris Minns, mengakui tidak semua penduduk akan menyambut baik pembaharuan yang tegas itu, namun menegaskan kerajaan sedang berusaha sedaya upaya demi menjamin keselamatan orang awam.

Ini berlaku ekoran serangan tembakan pada 14 Disember semasa sambutan Hanukkah Yahudi, yang meragut 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

“Sydney dan New South Wales telah berubah selama-lamanya akibat aktiviti pengganas itu,” kata Encik Minns kepada pemberita.

Rang Undang-Undang itu mendapat kelulusan Dewan Perwakilan Rakyat pada 23 Disember dengan sokongan daripada Parti Buruh yang memerintah dan parti pembangkang Liberal.

Parti Kebangsaan, rakan gabungan Parti Liberal, menentang pembaharuan senjata api, dengan alasan had pemilikan akan merugikan petani secara tidak adil.

Serangan senjata api Pantai Bondi yang paling dahsyat di Australia dalam hampir tiga dekad, mendorong seruan untuk undang-undang senjata api yang lebih ketat dan tindakan yang lebih tegas terhadap anti-Semitisme.

Di bawah undang-undang baru itu, yang digambarkan oleh Encik Minns sebagai yang paling ketat di Australia, had lesen senjata api individu bakal dihadkan kepada empat, manakala petani dibenarkan memiliki sehingga 10 pucuk senjata.

Keanggotaan kelab senjata api akan diwajibkan untuk semua pemegang lesen senjata api.

Polis juga akan diberikan lebih banyak kuasa untuk mengenakan sekatan ke atas protes sehingga tiga bulan selepas serangan pengganas diisytiharkan.

Paparan bendera dan simbol organisasi militan yang dilarang seperti ISIS, Hamas atau Hezbollah telah diharamkan, dan pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda A$22,000 ($19,000).

Encik Minns menyatakan kebimbangan timbul mengenai ungkapan seperti “mengglobalkan intifada”, yang biasanya didengar semasa protes pro-Palestin, sambil menambah bahawa kenyataan kebencian yang digunakan untuk memburukkan dan menakut-nakutkan orang ramai mesti dilarang.

Pihak polis percaya dua lelaki bersenjata dalam kes di Pantai Bondi diinspirasikan oleh kumpulan ISIS.

Sajid Akram, 50 tahun, ditembak mati oleh polis, manakala anak lelakinya Naveed, 24 tahun, telah didakwa dengan 59 kesalahan, termasuk pembunuhan dan pengganasan.

Kumpulan aktivis telah mengutuk undang-undang tersebut dan memberi isyarat untuk mencabar perlembagaan negeri itu.

Dalam kenyataan bersama, Kumpulan Tindakan Palestin, Yahudi Menentang Pendudukan dan kumpulan Blak Caucus mengumumkan mereka akan memfailkan cabaran undang-undang terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai “undang-undang anti-protes yang kejam” dan diluluskan dengan secara tergesa-gesa melalui Parlimen negeri.

“Jelas bahawa kerajaan (negeri) sedang mengeksploitasi serangan Bondi untuk memajukan agenda politik yang menindas perbezaan pendapat dan kritikan politik terhadap Israel, dan menyekat kebebasan demokratik,” kata kumpulan itu.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, juga telah berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap ucapan kebencian.

Kerajaan persekutuan merancang untuk memperkenalkan undang-undang bagi memudahkan pendakwaan terhadap mereka yang mempromosikan kebencian dan pengganasan, dan membatalkan atau menafikan visa kepada mereka yang terlibat dalam ucapan kebencian. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg