JAKARTA: Universiti Indonesia (UI) mengumumkan keputusan menggantung sementara gelaran Doktor yang diberikan kepada Encik Bahlil Lahadalia, Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral dalam pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Penggantungan ini susulan daripada polemik yang timbul apabila Encik Bahlil berjaya menamatkan pengajian ijazah kedoktoran PhDnya di Fakulti Kajian Strategik dan Global (SKSG) dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu satu tahun lapan bulan sahaja, suatu tempoh yang kebiasaannya memerlukan tiga hingga empat tahun.
Pemberian gelaran Doktor kepada Encik Bahlil yang merupakan Ketua Umum Parti Golkar menarik perhatian masyarakat apabila spekulasi timbul bahawa pencapaiannya mungkin disebabkan oleh penggunaan “joki” – individu yang dibayar untuk menyiapkan tugasan akademik.
Dalam kenyataan medianya pada 13 November, UI memohon maaf kepada masyarakat atas situasi ini, dengan menyatakan: “Universiti Indonesia memohon maaf atas masalah yang timbul melibatkan BL (Bahlil Lahadalias) sebagai pelajar Kedoktoran SKSG. Kami berkomitmen untuk perbaiki segala kekurangan dari aspek akademik dan etika,” jelas Ketua Majlis Wali Amanat (MWA) UI, Encik Yahya Cholil Staquf.
UI telah melaksanakan audit komprehensif terhadap Program Kedoktoran di SKSG sebagai langkah proaktif bagi pastikan integriti dan mutu akademik institusi tersebut.
Proses ini melibatkan penyertaan Senat Akademik dan Dewan Guru Besar yang menjalankan pemeriksaan menyeluruh, dari syarat penerimaan pelajar, proses bimbingan, hingga syarat kelulusan dan pelaksanaan ujian.
Pihak universiti turut mengumumkan moratorium atau penangguhan sementara penerimaan pelajar baru ke Program Kedoktoran SKSG sehingga audit selesai dilaksanakan.
Menurut Encik Yahya, langkah ini bertujuan memastikan semua proses pendidikan di UI berjalan mengikut peraturan yang ketat dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
Dewan Guru Besar UI akan mengadakan sidang tata kelola untuk menilai potensi pelanggaran dalam proses bimbingan mahasiswa di Program Kedoktoran SKSG.
“Tindakan ini diambil demi memastikan pendidikan di UI dijalankan dengan penuh profesionalisme dan tanpa konflik berkepentingan,” tambah Encik Yahya.
Keputusan UI menggantung kelulusan Encik Bahlil sebagai doktor adalah berdasarkan hasil rapat kerjasama melibatkan empat unit penting universiti tersebut.
Menurut Encik Yahya, langkah penggantungan ini adalah sebahagian daripada usaha UI untuk memperbaiki kelemahan dalaman dan menegakkan prinsip akademik yang telus dan beretika. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg