JAKARTA: Universiti Indonesia (UI) telah mengarahkan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, untuk memperbaiki disertasi kedoktorannya yang mencetuskan kontroversi, namun menolak gesaan supaya ijazahnya dibatalkan ekoran dakwaan pelanggaran akademik.
Rektor UI, Profesor Dr Heri Hermansyah, mengumumkan keputusan tersebut dalam sidang media pada 7 Mac selepas perbincangan mendalam melibatkan pihak rektorat universiti, senat akademik, lembaga amanah dan majlis profesor selesai dijalankan.
Sidang etika tersebut membincangkan hasil siasatan dalaman yang mendapati Encik Bahlil telah melanggar beberapa standard akademik universiti, antaranya menggunakan data tanpa kebenaran pemilik asal serta menyelesaikan pengajian kedoktorannya dalam tempoh kurang empat semester seperti yang diwajibkan.
“UI menjangkakan Encik Bahlil akan memperbaiki mutu disertasi serta kaedah penyelidikan yang digunakannya. Beliau juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada warga akademik UI,” kata Encik Heri.
Dalam masa yang sama, UI turut mengenakan tindakan terhadap penyelia utama dan penyelia bersama disertasi Encik Bahlil, serta pengarah dan ketua program Sekolah Kajian Strategik dan Global mengenai Tenaga (SKSG UI).
Antara tindakan yang dikenakan termasuk penangguhan kenaikan pangkat serta arahan agar mereka membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Kejadian ini mesti dilihat sebagai satu peluang untuk menilai dan memperbaiki sistem pendidikan, terutama di SKSG UI. Keputusan bersama ini telah dibuat secara telus dan sepakat,” tambah Encik Heri.
Jurucakap UI, Enci Arie Afriansyah, dalam sidang media yang sama menjelaskan, “sama ada Bahlil perlu mempertahankan semula disertasinya selepas pembaikan bergantung kepada keputusan SKSG UI nanti”.
Encik Bahlil, yang juga merupakan Ketua Parti Golkar, sebelum ini mendaftar di program kedoktoran SKSG pada semester kedua tahun akademik 2022/2023.
Beliau berjaya menamatkan pengajiannya pada semester pertama tahun akademik 2024/2025, iaitu sekitar 20 bulan sahaja.
Lazimnya, program kedoktoran mengambil masa sekitar tiga tahun untuk diselesaikan.
UI memulakan siasatan terhadap disertasi Encik Bahlil pada Oktober 2024 selepas wujud persoalan daripada pemerhati mengenai bagaimana beliau mampu menyelesaikan pengajian dalam tempoh yang sangat singkat.
Pada November 2024, UI mengambil keputusan untuk menggantung sementara kelulusannya.
Sementara itu, Encik Bahlil memberitahu wartawan beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan universiti yang meminta disertasinya diperbaiki.
“Saya belum tahu (tentang keputusan tersebut). Tetapi apa sahaja yang diputuskan universiti, saya akan patuh kerana akhirnya saya masih seorang pelajar UI,” kata Encik Bahlil seperti dipetik oleh kompas.com.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg