GENEVA: Timbunan sampah yang reput akibat suhu panas, menimbun berhampiran dengan tempat perlindungan penduduk yang dipindahkan di Gaza.
Demikian dinyatakan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Jun, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai penularan penyakit.
Ratusan ribu penduduk Gaza yang telah melarikan diri ke selatan Gaza dalam konflik lebih lapan bulan telah dipindahkan sekali lagi.
Ini menyusuli langkah Israel memperluaskan operasi ketenteraannya terhadap Hamas, ke bandar selatan Rafah pada awal Mei.
Seorang pekerja Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Cik Louise Wateridge, berkata longgokan sisa seberat kira-kira 100,000 tan itu semakin bertimbun berhampiran khemah penduduk di tengah Gaza.
“Ia berlonggok di tengah-tengah penduduk, semakin bertimbun dan tiada tempat lain untuk dialihkan.
“Keadaannya semakin teruk. Dan dengan suhu yang kian meningkat, ia benar-benar menambah kesengsaraan kepada keadaan hidup di sini,” kata beliau kepada wartawan melalui pautan video dari Gaza.
Israel telah menolak permintaan berulang kali agar membenarkan UNRWA mengosongkan tapak pelupusan utama, katanya. Ini bermakna, yang sementara juga sedang muncul, tambahnya.
Walaupun kebenaran diberikan, Cik Wateridge berkata misi kemanusiaan UNRWA, seperti pengumpulan sampah, semuanya terhenti ekoran keengganan Israel membenarkan import bahan api.
Cogat Israel, cabang tentera yang ditugaskan menyelaras penghantaran bantuan ke wilayah Palestin, tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Israel, yang melancarkan operasi ketenteraan Gaza selepas serangan maut Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, mendakwa ia telah memperluaskan usaha untuk memudahkan aliran bantuan ke Gaza.
Ia turut menyalahkan agensi bantuan berhubung masalah pengagihan di dalam kawasan tersebut.
Israel turut mengawal penghantaran bahan api ke Gaza dan telah lama mengekalkan dakwaan terdapat risiko bahan api itu dilencongkan ke Hamas.
Encik Tarik Jasarevic, dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sampah itu, seiring peningkatan haba, kekurangan air minuman bersih dan perkhidmatan sanitasi, menambah kepada risiko penyakit.
“Ia boleh menyebabkan beberapa penyakit berjangkit muncul,” katanya sambil menyebut kira-kira 470,000 kes cirit-birit telah dilaporkan sejak permulaan perang.
Cik Wateridge, yang tiba semula di Gaza pada 27 Jun, selepas tidak hadir selama empat minggu, berkata keadaan telah merosot dengan ketara.
Beliau menyifatkan keadaan hidup di situ sebagai “tidak tertanggung” dengan orang ramai bermandi peluh di bawah kepingan plastik dan meromok di dalam bangunan yang musnah dibom. – Reuters.
“
“Ia (sampah sarap) berlonggok di tengah-tengah penduduk, semakin bertimbun dan tiada tempat lain untuk dialihkan. Keadaannya semakin teruk. Dan dengan suhu yang kian meningkat, ia benar-benar menambah kesengsaraan kepada keadaan hidup di sini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg