Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha gencatan senjata Gaza tiada kemajuan, Hamas tinggalkan rundingan

Israel, Hamas salahkan satu sama lain bagi kegagalan capai perjanjian di tengah-tengah kebimbangan keganasan meningkat pada Ramadan
Mar 8, 2024 | 12:30 PM
Seorang peniaga Palestin menjual tanglung tradisional, fanous di bandar Rafah, selatan Jaluran Gaza, pada 5 Mac, di tengah-tengah usaha perantaraan Qatar dan Mesir untuk mencapai gencatan senjata antara Israel dengan Hamas menjelang Ramadan.
Seorang peniaga Palestin menjual tanglung tradisional, fanous di bandar Rafah, selatan Jaluran Gaza, pada 5 Mac, di tengah-tengah usaha perantaraan Qatar dan Mesir untuk mencapai gencatan senjata antara Israel dengan Hamas menjelang Ramadan. - Foto AFP

KAHIRAH: Hamas telah meninggalkan rundingan gencatan senjata Gaza di Kahirah pada 7 Mac selepas mendapati tiada sebarang kemajuan dicapai menjelang Ramadan, yang bermula awal minggu depan.

Amerika Syarikat berkata tanggungjawab berada di atas kumpulan Palestin itu untuk mencapai perjanjian bagi pembebasan tebusan Israel yang ditawannya.

Israel dan Hamas menyalahkan satu sama lain bagi kegagalan mencapai perjanjian selepas rundingan selama empat hari.

Qatar dan Mesir menjadi pengantaraan bagi rundingan itu, untuk mencapai gencatan senjata selama 40 hari di tengah-tengah kebimbangan keganasan boleh meningkat semasa Ramadan.

Sumber keselamatan Mesir berkata rundingan, yang berlangsung tanpa delegasi Israel di Kahirah, akan disambung pada 10 Mac.

Pegawai kanan pentadbiran Amerika berkata penyelesaian terletak di bahu Hamas dan mengaitkan kelewatan itu disebabkan apa yang mereka sifatkan sebagai keengganan Hamas membebaskan tebusan yang sakit dan warga emas.

Seorang pegawai Hamas memberitahu Reuters, Amerika berpihak pada Israel dan komen sedemikian mengelirukan.

Hamas telah menegaskan perjanjian gencatan senjata termasuk proses ke arah menamatkan perang secara tuntas.

Dalam satu kenyataan sebelum ini Hamas mengatakan delegasinya meninggalkan Kahirah untuk bercakap dengan pemimpin pergerakan itu, “dengan rundingan dan usaha berterusan bagi menghentikan pencerobohan, membenarkan penduduk Palestin pulang ke rumah mereka dan bantuan kemanusiaan diberikan kepada rakyat kami”.

Pegawai Kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, memberitahu Reuters, Israel “menghalang” usaha memuktamadkan perjanjian gencatan senjata.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengulangi hasratnya pada 7 Mac untuk meneruskan kempen ketenteraan di Gaza, yang dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel, yang membunuh lebih 1,400 orang dan 240 orang menjadi tebusan.

Pegawai Kesihatan di Gaza berkata lebih 30,800 orang terbunuh dalam serangan Israel, yang berkata matlamatnya ialah memusnahkan Hamas dan sebarang gencatan senjata mesti bersifat sementara.

Israel turut meminta senarai tebusan masih hidup.

“Israel akan melakukan apa saja bagi membebaskan tebusan kami... malangnya, Hamas menjadi batu penghalang kerana tidak memberitahu kami siapa masih hidup dan siapa mereka masih tahan,”‘ kata jurucakap pemerintah Israel, Encik David Mencer.

Hamas berkata ia tidak dapat memberikan senarai itu tanpa gencatan senjata kerana tebusan berkenaan bertaburan di zon perang.

Berita bahawa delegasi Hamas telah meninggalkan Kahirah sebelum persetujuan dicapai disambut dengan kekecewaan di Gaza, yang dalam cengkaman krisis kemanusiaan selepas perang selama lima bulan.

“Saya berasa sangat kecewa dan putus asa, takut juga,” kata Abir, yang bersama 12 anggota keluarganya sedang berlindung di Rafah di selatan Gaza, bersama lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Palestin. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg