Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usul dakwa Presiden Korea S kian dilulus

Dec 13, 2024 | 2:13 PM
Encik Kim Sung-tae (tengah), seorang pekerja berusia 52 tahun di sebuah syarikat pengeluar alat ganti kereta, bergambar sambil memegang ‘placard’ bertulis, “Pengkhianat Yoon Suk Yeol. Dakwa! Tangkap!” ketika menyertai tunjuk perasaan kumpulan buruh yang mengadakan bantahan bagi mendesak pemecatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, di hadapan Dewan Bandaraya Seoul pada 12 Disember.
Encik Kim Sung-tae (tengah), seorang pekerja berusia 52 tahun di sebuah syarikat pengeluar alat ganti kereta, bergambar sambil memegang ‘placard’ bertulis, “Pengkhianat Yoon Suk Yeol. Dakwa! Tangkap!” ketika menyertai tunjuk perasaan kumpulan buruh yang mengadakan bantahan bagi mendesak pemecatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, di hadapan Dewan Bandaraya Seoul pada 12 Disember. - Foto AFP

SEOUL: Tujuh ahli Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah telah menyatakan sokongan terhadap usul mendakwa Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, menjadikan hanya satu lagi sokongan diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Perhimpunan.

Antara ahli terbaru yang menyatakan sokongan ialah Encik Jin Jong-oh, bekas atlet menembak Olimpik, dan Dr Han Ji-ah, seorang doktor yang kini bergelar ahli politik.

Mereka menyertai lima wakil PPP yang telah lebih awal menyokong untuk mendakwa Encik Yoon, seorang ahli parti itu.

Encik Jin berkata dalam satu sidang media bahawa sokongan beliau demi mempertahankan demokrasi dan kestabilan perlembagaan negara.

“Saya akan mengundi menyokong. Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi ia adalah langkah yang perlu untuk melindungi demokrasi Republik Korea,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Han menyatakan melalui media sosial bahawa parti pemerintah harus bertanggungjawab atas kesalahan mereka.

“Jika keputusan parti kita tidak mencerminkan kehendak rakyat, kita perlu memperbetulkannya dengan segera,” tulis beliau.

Tindakan Encik Yoon mengenakan undang-undang tentera pada 3 Disember, yang dibatalkan hanya enam jam kemudian, telah mencetuskan krisis perlembagaan dan meningkatkan tekanan agar beliau berundur.

Ketua pembangkang, Encik Lee Jae-myung, menyifatkan langkah tersebut sebagai melanggar undang-undang dan menambah “bahan bakar” kepada tuntutan pendakwaan.

“Mendakwa Presiden adalah cara terpantas dan paling berkesan untuk menamatkan kekeliruan politik ini,” kata Encik Lee dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyifatkan tuduhan Encik Yoon bahawa Korea Utara mengawal Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu sebagai “pengisytiharan perang terhadap rakyat”.

Pada 7 Disember, EncikYoon terselamat daripada percubaan pertama mendakwanya apabila sebahagian besar ahli PPP memboikot undian.

Namun, keadaan kini berubah apabila lebih ramai ahli PPP secara terbuka menyokong usul tersebut.

Parti pembangkang telah memperkenalkan rang undang-undang pendakwaan baru dan merancang untuk mengadakan undian pada 14 Disember.

Dengan gabungan pembangkang mempunyai 192 kerusi, mereka hanya memerlukan lapan lagi undian daripada PPP untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.

Encik Yoon berikrar dalam satu kenyataan pada 12 Disember akan terus berjuang hingga saat akhir.

Beliau menuduh parti pembangkang sengaja melumpuhkan pemerintah dan menghalang pentadbirannya daripada berfungsi.

Namun, sokongan yang semakin meningkat daripada ahli PPP sendiri memberi isyarat jelas bahawa sokongan terhadap Presiden Yoon dalam partinya sendiri semakin rapuh. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg