SHAH ALAM: Selepas dua dekad menyelam lautan Malaysia untuk mempertahankan negaranya, veteran tentera laut Sumadi Ibrahim yang telah bersara, beralih ke padang golf – menyelam untuk memungut bola yang tenggelam sebagai mata pencariannya.
Selama 22 tahun berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia, beliau ditugaskan dalam kapal-kapal yang meronda perairan penuh dengan ikan jerung di kepulauan Pasifik.
Kini, ketika mentari mula terbenam, Encik Sumardi, 51 tahun, meronda padang-padang golf di pinggir bandar negeri Selangor di luar Kuala Lumpur, terjun ke dalam tasik untuk memburu bola golf yang ‘tersesat’ pada siang hari.
Pada setiap penyelaman, beliau mampu mengumpul antara 500 dengan 600 biji dan kemudian menjual balik kepada pemain golf yang kecewa dengan kehilangan bola-bola golf mereka.
Encik Sumadi boleh memilih kehidupan yang lebih konvensional tetapi beliau tidak dapat menahan panggilan air yang dalam – walaupun kolam padang golf hanya mempunyai kedalaman dua meter.
“Saya sudah biasa berada dalam laut,” katanya sambil menguntum senyuman nostalgia yang melembutkan wajahnya.
Encik Sumadi mula-mula mendengar tentang peluang mencari keuntungan menerusi “selam bola golf” dalam perbualan santai dengan rakan-rakan.
Tertarik dengan prospek itu, ayah tiga anak itu memanfaatkan kepakarannya – menyelam perairan keruh buat kali pertama pada 2012.
Sejak bersara pada 2014, ia telah menjadi sumber pendapatan utamanya.
Beliau melakukan tugas tersebut tiga malam setiap minggu.
“Saya tidak bawa lampu suluh. Hanya cahaya bulan yang menjadi sumber cahaya saya.
“Saya menggunakan tangan sebagai penyapu. Apabila tangan dan kaki saya bersentuhan dengan objek tertentu, saya dapat mengetahui sama ada ia bola atau sebaliknya,” ceritanya.
Tanpa menggunakan peralatan pernafasan, beliau mengumpul bola golf dengan memasukkannya ke dalam baju lengan panjangnya.
Kerja semasanya mungkin kelihatan kurang berisiko berbanding menyelam lautan dalam. Tetapi ia mempunyai cabaran tersendiri. Airnya sejuk dan gelap, menguji ketahanan fizikal dan mentalnya.
“Tasik padang golf sering mempunyai duri sawit, serpihan cengkerang siput. Airnya gelap jadi saya sering memijaknya.
“Saya sentiasa bimbang tentang kekejangan. Jadi untuk mengurangkan risiko, saya mengupah pembantu sambilan untuk berjaga-jaga semasa saya menyelam.
“Jika sesuatu berlaku, seperti saya tersepit atau cedera, sekurang-kurangnya ada seseorang untuk membantu saya,” sambungnya.
Hari gajinya datang setiap Sabtu, apabila beliau membuka gerai sederhana di pintu masuk padang golf pada 8 pagi, menjual barang dagangannya kepada pemain golf.
Dipamerkan pada rak sementara dan dalam bakul, bola standard dijual pada harga serendah RM0.70 (S$0.20) sebiji, manakala jenama premium berharga sehingga RM6 ($1.80) sebiji.
Pekerjaan Encik Sumadi menjana pendapatan cukup lumayan sehingga RM8,000 sebulan – hampir tiga kali ganda gaji median bulanan pekerja rakyat Malaysia. – AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg