PROVIDENCE (Amerika Syarikat): Pihak berkuasa telah mengeluarkan garis masa video baru dan paparan gambar yang lebih jelas pada 17 Disember mengenai lelaki yang disyaki dalam kejadian penembakan di Universiti Brown.
Namun, penyiasat tidak memberi gambaran mereka lebih hampir untuk mengenal pasti identitinya.
Polis telah meninjau di sekitar wilayah Providence untuk mencari petunjuk yang dapat membantu mereka mengetahui siapa dalang di sebalik penembakan yang mengorbankan dua pelajar dan mencederakan sembilan orang lain dalam kejadian pada 13 Disember itu.
Dalam semua video yang didedahkan kepada umum, wajah suspek bertopeng atau dipalingkan, dan pihak berkuasa hanya dapat memberikan gambaran samar-samar tentangnya sebagai lelaki tegap dengan ketinggian 5 kaki, 8 inci (173 sentimeter).
Video pengawasan yang disiarkan oleh Biro Siasatan Federal (FBI) dalam talian, sebelum ini, menunjukkan seseorang yang berpakaian gelap berjalan di beberapa laluan pejalan kaki berhampiran tempat kejadian selama sejam selepas 2 petang pada 13 Disember.
Beberapa klip menunjukkan suspek berjalan beberapa kali di depan beberapa hartanah di sana dan dalam satu klip, suspek tiba-tiba berpaling dan berlari ke arah yang lain apabila seseorang menghampiri.
Dua klip yang diambil beberapa minit selepas kejadian tembakan itu menunjukkan orang itu berjalan meninggalkan tempat letak kereta menuju ke tempat pejalan kaki.
Polis pula, sejauh ini, menerima kira-kira 200 maklumat orang ramai dan Ketua Polis Providence, Kolonel Oscar Perez, meminta orang ramai supaya meneliti sistem kamera mereka, sama ada mereka mempunyai rakaman yang mungkin membantu pegawai mengenal pasti suspek lelaki bersenjata itu.
Kekurangan kamera dan video, jelas lelaki bersenjata itu, terus mengecewakan pihak berkuasa dan masyarakat.
Presiden Universiti Brown, Cik Christina Paxson, mengesahkan kampus itu mempunyai 1,200 kamera pengawasan, namun pihak penguatkuasa undang-undang menyatakan tiada video jelas penembak dari dalam bangunan kejuruteraan – tempat tembakan berlaku.
Peguam Negara Rhode Island, Encik Peter Neronha, mempertahankan siasatan itu sebagai “berjalan dengan sangat baik” sambil merayu kesabaran orang ramai dalam mencari suspek kes tembakan itu.
Persoalan besar masih wujud, terutamanya mengenai motif penembak.
Apabila ditanya tentang kaitan kes itu dengan bangsa, motif politik atau budaya, Encik Neronha berkata: “Ia satu soalan bahaya.”
Dalam pada itu, butiran lanjut diberikan mengenai mangsa yang cedera ketika itu, beliau berkata mereka sedang menduduki peperiksaan peringkat akhir di bilik darjah di bangunan kejuruteraan.
Jurucakap Universiti Brown, Cik Amanda McGregor, mengesahkan dua daripada sembilan siswa yang cedera telah dibenarkan pulang dan baki tujuh lagi siswa masih dirawat di hospital.
Datuk Bandar, Encik Brett Smiley, berkata salah seorang daripadanya masih dalam keadaan kritikal, manakala lima yang lain berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Seorang lagi siswa berada dalam keadaan stabil. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg