Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

Wanita Afghanistan tuntut hak pendidikan dalam rayuan PBB

Aug 16, 2023 | 02:55 PM



KABUL: Pelajar kejuruteraan, Cik Somaya Faruqi, terpaksa meninggalkan Afghanistan untuk menyambung pelajaran selepas pemerintah Taleban kembali berkuasa dua tahun lalu dan melarang lebih 1.1 juta gadis dan wanita daripada sekolah dan universiti.


Gadis berusia 21 tahun itu, yang kini menetap di Amerika Syarikat, adalah wajah yang dipaparkan dalam kempen yang dilancarkan pada Selasa oleh dana global Education Cannot Wait Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk memerangi krisis itu, sekali gus menandakan ulang tahun kedua kejatuhan pemerintah yang diiktiraf antarabangsa di Kabul.


Di bawah slogan Suara Wanita Afghan, kempen itu menerajui seruan global untuk menghormati semua hak wanita Afghanistan untuk mendapatkan pendidikan.

Ramai wanita Afghan terpaksa meninggalkan negara untuk melanjutkan pelajaran.

Cik Faruqi, contohnya, menamatkan sekolah menengah di Qatar selepas beliau dan sembilan gadis lain daripada pasukan robotiknya, “The Afghan Dreamers”, meninggalkan Afghanistan pada 2021.


Kini, beliau memulakan tahun kedua mengikuti kursus kejuruteraan di universiti Sacramento State di California, dengan biasiswa dari Qatar.

Dilupakan


“Kempen ini bertujuan membawa perhatian dunia sekali lagi kepada gadis-gadis di Afghanistan, dan isu pendidikan (mereka),” kata Cik Faruqi kepada agensi berita AFP melalui telefon.

“Afghanistan nampaknya dilupakan,” ujarnya.

Larangan ke atas hampir kesemua wanita dari segi kemudahan kehidupan awam Afghanistan, termasuk dalam pendidikan dan pekerjaan, telah menjadi antara perkara utama yang menghalang masyarakat antarabangsa daripada menawarkan bantuan dan pengiktirafan rasmi kepada pemerintah Taliban.

“Banyak saluran hubungan biasa antara Taleban dan negara lain akan disekat selagi hak wanita dan gadis, antara lain, tidak dilayani,” kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, kepada pemberita di Washington.

Keadaan wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan adalah “paling teruk di peringkat global,” menurut laporan PBB yang diperolehi pada Julai lalu.

Laporan itu antara lain mengatakan bahawa dasar pemerintah Taleban – yang berlandaskan tafsiran ketat mereka terhadap Islam – boleh menjadi “aparteid jantina.”

Malah, keadaan hak wanita di Afghanistan “harus dikira sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, dan ia harus didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” kata utusan khas PBB bagi pendidikan global, mantan Perdana Menteri Britain, Encik Gordon Brown, kepada pemberita semasa sidang melalui video pada Selasa.

Tragik


Pada 2021, hanya sebulan selepas kembali berkuasa buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, pihak berkuasa Taleban melarang gadis daripada menghadiri sekolah menengah, sebelum menutup pintu universiti kepada mereka pada Disember 2022 dan kemudian menyekat penyertaan mereka dalam tenaga kerja.

Bagi Cik Faruqi, keadaan ini tidak boleh dibiarkan: “Kita perlu memastikan bahawa (perempuan dan wanita) mempunyai akses kepada peluang yang sama, dan mereka mempunyai akses kepada pendidikan, kerana pendidikan adalah kunci kepada kebebasan,” katanya kepada AFP.

“Perempuan telah diharamkan daripada ruang awam: sekolah, gimnasium, taman. Tiada apa yang dibenarkan untuk mereka lakukan, hanya tinggal di rumah,” ujarnya dalam satu kenyataan PBB pada Selasa.

Bagi kebanyakan keluarga, satu-satunya jalan ke hadapan untuk anak perempuan mereka adalah perkahwinan, “tanpa mengira persetujuan mereka,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa ramai rakan sekelasnya sendiri telah dipaksa untuk berkahwin.

“Tekanan memuncak. Kadar bunuh diri di kalangan kanak-kanak perempuan telah meningkat dengan banyak dalam dua tahun kebelakangan ini. Ia tragis,” katanya dalam kenyataan itu.

Kempen Education Cannot Wait bertujuan meningkatkan kesedaran global mengenai isu itu, melalui media sosial hingga September, bagi menguatkan suara gadis dan wanita Afghanistan sama seperti pemimpin dunia, dalam Perhimpunan Agung PBB, pada 18 dan 19 September.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >