Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita didakwa rancang serangan ala ISIS di bangunan perundangan di New York
Rancang letupkan bom yang sasar tujuh anggota badan perundangan negeri
NEW YORK: Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika Syarikat mendakwa berjaya menggagalkan rancangan seorang wanita untuk melancarkan serangan bom di bangunan perundangan New York di Albany dengan tujuan membunuh anggota badan perundangan dan memusnahkan sebahagian besar bangunan itu.
Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) pada 20 Ogos mengumumkan pendakwaan terhadap Jessica Bowie, 35 tahun, dari Albany, selepas beliau ditangkap sehari sebelumnya kerana didakwa merancang serangan yang diinspirasikan oleh kumpulan ISIS.
Menurut pihak berkuasa, Bowie ditahan selepas menerima sesuatu yang disangkanya sebagai alat letupan.
Penolong Peguam Negara bagi Keselamatan Negara, Encik John A. Eisenberg, berkata Bowie didakwa merancang meletupkan bom di bangunan perundangan New York bagi membunuh pegawai awam sebelum melarikan diri ke wilayah yang dikuasai ISIS di Syria.
Dia didakwa atas tuduhan cuba memberikan sokongan material kepada sebuah pertubuhan pengganas asing.
Amerika Syarikat telah menyenaraikan ISIS sebagai pertubuhan pengganas asing.
“Penyiasat menghentikan Bowie sebelum dia sempat melaksanakan rancangannya untuk membawa keganasan ke wilayah ibu kota,” kata Encik Eisenberg.
Menurut aduan setebal 21 halaman yang difailkan di mahkamah, Bowie didakwa aktif menggunakan media sosial dan mewujudkan lebih sedozen akaun yang memuat naik kandungan menyokong pengganasan.
Pihak berkuasa mendakwa dia turut memuat naik mesej meraikan serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika.
Siasatan terhadap Bowie melibatkan beberapa pemberi maklumat sulit FBI.
Menurut dokumen mahkamah, seorang pemberi maklumat mula berkomunikasi dengannya menerusi aplikasi komunikasi sulit pada Julai.
Bowie kemudian didakwa menyatakan hasrat mendapatkan bantuan untuk menghasilkan bom dan mengenal pasti bangunan perundangan New York sebagai sasarannya.
“Saya mahu memusnahkan sebanyak mungkin bahagian bangunan itu dan membunuh senator,” katanya dalam satu mesej yang dipetik dalam aduan tersebut.
Pemberi maklumat itu kemudian mengatur pertemuan Bowie dengan dua lagi pemberi maklumat sulit.
Menurut pendakwa raya, salah seorang daripada mereka memberikan Bowie AS$200 ($253) untuk membeli barangan yang didakwa diperlukan bagi menghasilkan bom.
Dokumen mahkamah turut mengandungi gambar yang didakwa menunjukkan Bowie membeli barangan di sebuah kedai perkakasan serta mengambil gambar bangunan perundangan menggunakan telefon bimbit.
Pihak berkuasa menyifatkan tindakannya itu sebagai sebahagian daripada usaha meninjau sasaran sebelum serangan.
DOJ berkata Bowie beberapa kali mengunjungi kawasan sekitar bangunan berkenaan dan mengambil gambar.
Dia didakwa berkata serangan itu bertujuan memberi “kesan terhadap sistem Amerika”.
Aduan itu turut mendakwa Bowie memperoleh senjata api dan peluru daripada seorang pemberi maklumat yang kemudian menunjukkan kepadanya cara menggunakannya.
Dia akhirnya ditangkap FBI pada 19 Ogos selepas memperoleh sesuatu yang dipercayainya sebagai alat letupan.
Ketika disoal siasat di pejabat FBI di Albany, Bowie didakwa memberitahu penyiasat bahawa dia sudah mengetahui hukuman bagi kesalahan memberikan sokongan material kepada kumpulan pengganas boleh mencecah 20 tahun penjara.
Peguam yang mewakilinya belum memberikan komen mengenai tuduhan tersebut.
Susulan penangkapan itu, Gabenor New York, Cik Kathy Hochul, berkata langkah keselamatan telah dipertingkatkan di bangunan dewan perundangan negeri dan kemudahan pemerintah lain berikutan peningkatan keganasan politik serta ancaman terhadap pegawai awam.
“Walaupun tiada ancaman segera pada masa ini, kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi penduduk New York dan memastikan masyarakat kami selamat,” katanya.
Penggunaan pemberi maklumat sulit oleh FBI dalam siasatan berkaitan keganasan bagaimanapun pernah mencetuskan kontroversi di Amerika.
Kumpulan hak asasi sebelum ini mengkritik operasi penyamaran sedemikian dengan mendakwa sesetengah suspek mungkin didorong oleh pemberi maklumat atau ejen penyamar untuk terlibat dalam rancangan yang mereka sendiri mungkin tidak mampu melaksanakannya.
Dalam kes Bowie, pihak pendakwa mendakwa bukti menunjukkan beliau sendiri mengenal pasti sasaran, menyatakan hasrat membunuh anggota badan perundangan dan melakukan tinjauan di lokasi sebelum ditangkap. – Agensi berita.
