Penahanan tiga remaja Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini mengikuti beberapa kes berasingan radikalisasi golongan muda menerusi Internet. 

Memandangkan penggunaan kandungan dalam talian merupakan punca utama radikalisasi, ini menimbulkan persoalan tentang peranan alam digital dalam hal berkaitan agama.

Ulasan

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura baru-baru ini mengumumkan tiga kes berasingan remaja Singapura yang ditahan kerana berniat melancarkan serangan di Singapura.

Mereka baru-baru ini menjadi radikal secara dalam talian menerusi jalan yang berbeza.

Kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, yang didorong oleh pembulian dan pendedahan kepada kandungan ISIS serta kandungan sayap kanan melampau, lalu menulis manifesto 21 muka surat untuk menyerang guru dan rakan sekolah bukan Islam. 

Seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun, yang tersentuh emosi akibat konflik Israel-Palestin, mencari maklumat tentang bahan letupan buatan sendiri bagi menyokong penubuhan khilafah Islam. 

Manakala seorang lelaki berusia 19 tahun yang memeluk Islam, dipengaruhi oleh penceramah melampau dari luar negara, cuba melancarkan serangan siber terhadap pertubuhan Islam yang dianggapnya menyeleweng. 

Beliau turut merancang serangan menggunakan pisau terhadap kumpulan di Singapura yang tidak sehaluan dengan ideologinya.

Walaupun ketiga-tiga kes itu berpunca daripada sebab yang berbeza, semuanya berkongsi satu pemangkin yang sama, iaitu, radikalisasi agama dalam talian. 

Usaha menentang ideologi hari ini menjadi lebih rumit akibat pendekatan campur aduk yang diamalkan oleh individu yang membina kepercayaan radikal versi mereka sendiri daripada pelbagai sumber digital, turut dikenali sebagai Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE). 

Untuk menangani isu tersebut dengan berkesan, kita perlu menganalisis bagaimana landskap digital mengubah bentuk kandungan agama dan mendorong radikalisasi moden.

Agama digital dan cabarannya

Bidang kajian agama digital meneliti pelbagai cara ejen dan institusi agama menyesuaikan diri dengan media baharu. 

Para sarjana mengkaji bagaimana dimensi sosiologi asas seperti identiti, penguasa dan masyarakat berubah akibat perkembangan teknologi digital.

Tiga kes remaja yang menjadi radikal itu menunjukkan bahawa cabaran agama digital ialah memahami betapa mudahnya ideologi agama melampau boleh dicapai dan digunakan, serta betapa cepatnya individu merancang untuk melakukan tindakan ganas.  

Proses radikalisasi bagi ketiga-tiga remaja itu bermula dengan kandungan yang mencetuskan rasa ingin tahu mereka, sebelum terkait dengan identiti dan perasaan peribadi mereka.

Ini menyebabkan mereka secara aktif dan pasif mencari lebih banyak kandungan yang selari dengan kepercayaan mereka dan kelihatan boleh dipercayai.

Ini turut mewujudkan ruang gema (echo chamber) dalam talian bagi sesuatu ideologi, apabila algoritma terus memaparkan kandungan yang serupa. 

Akhirnya, perasaan peribadi itu diterjemahkan kepada tindakan dalam talian dan luar talian, dengan individu mula mencari atau membentuk masyarakat yang berfikiran sama, serta merancang untuk melakukan tindakan keganasan. 

Fahami radikalisasi dalam talian

Tema identiti, penguasa dan masyarakat boleh dijadikan rangka kerja untuk memahami proses radikalisasi dalam talian. 

Dengan memberi tumpuan kepada tiga tema ini, kesan buruknya mungkin bukan sekadar terhad kepada alam digital, tetapi turut merangkumi proses yang berlaku di dalamnya. 

Tiga tema tersebut ialah: identiti, penguasa dan masyarakat.

Identiti

Dalam persekitaran tradisional, identiti agama sering kali diwarisi dan terikat kepada lokasi geografi, tetapi dalam ruang digital, identiti tersebut disusun secara algoritma, bersifat individu dan mudah berubah. 

Maklumat memberi kesan mendalam kerana ia menyasarkan perasaan sakit hati atau rasa tidak puas hati terhadap ketidakadilan.

Peranti peribadi dan algoritma menjadi sebahagian daripada diri seseorang, memaparkan kandungan yang dipilih khas oleh algoritma untuk memikat perhatian pengguna. 

Bukannya mendedahkan pengguna kepada pelbagai perspektif, sistem tersebut sebaliknya mewujudkan ruang gema yang mengukuhkan ideologi sedia ada. 

Tiada cara dari segi agama untuk menilai sama ada kepercayaan peribadi itu selari dengan ajaran agama arus perdana.

Satu-satunya ukuran ialah sama ada kandungan itu mengesahkan emosi individu tersebut.

Penguasa

Sejarahnya, penguasa agama terletak pada institusi seperti majlis agama dan sekolah pondok.

Alam digital telah meratakan hierarki itu, membolehkan suara lain yang mendakwa sebagai ‘penguasa’ agama turut memperkukuh ideologi melampau mereka.

Individu yang tiada kelayakan formal sebagai guru agama, tetapi memiliki kemahiran berucap dan karisma yang tinggi, sering kali dianggap sebagai autoriti.

Masyarakat

Masyarakat atau jemaah agama yang biasa telah berkembang daripada sempadan geografi yang dikongsi kepada ideologi yang dikongsi. 

Individu yang menjadi radikal mencari orang lain yang mengesahkan kepercayaan mereka, lalu mewujudkan rasa kebersamaan.

Alam digital merungkaikan sempadan geografi, membolehkan mereka mencari atau membentuk rangkaian dalam talian yang sehaluan dari segi ideologi. 

Masyarakat sebegitu memupuk perpaduan kolektif dan mengukuhkan ideologi peribadi yang dibina sendiri oleh ahlinya.

Ini mencetuskan polarisasi dan membuka jalan kepada keganasan.

Agama Digital: Pedang Bermata Dua 

Seperti dalam ketiga-tiga kes radikalisasi remaja itu, dimensi identiti, penguasa dan masyarakat, apabila diselewengkan oleh kandungan melampau, memainkan peranan penting dalam perjalanan mereka menuju keganasan. 

Pemimpin agama dan masyarakat umum perlu bertindak proaktif untuk merebut kembali dimensi kehidupan agama digital ini.

Ini memerlukan pendekatan pelbagai kaedah.

Pertama, literasi digital membolehkan individu mengenal pasti dan menilai kandungan melampau secara kritis sebelum ia berakar umbi. 

Kedua, memandangkan radikalisasi mengeksploitasi emosi yang kuat untuk mengubah identiti seseorang, memupuk ruang masyarakat yang berteraskan empati dan keprihatinan dapat memberi individu yang terdedah rasa diterima oleh masyarakat tanpa memerlukan ekstremisme ideologi. 

Ketiga, dengan mencipta naratif bersasar yang mempromosikan keamanan dan keharmonian agama, penguasa agama dan kumpulan masyarakat boleh mewujudkan kehadiran dalam talian yang jelas, di mana individu dapat menemui suara alternatif autoriti agama serta rasa diterima masyarakat.

Namun, strategi tersebut menghadapi cabaran berterusan: kandungan negatif secara semula jadi menarik lebih banyak penglibatan, memberikan kelebihan algoritma kepada bahan melampau. 

Untuk mengatasinya memerlukan usaha berterusan: institusi agama perlu secara strategik memperkukuh suara sederhana; masyarakat perlu secara aktif menyusun dan mengesyorkan kandungan positif; dan inisiatif literasi digital perlu membantu pengguna mengenal pasti dan menentang naratif melampau.

Kesimpulan

Apabila meneliti peranan alam digital dalam hal keagamaan, insiden terpencil seperti radikalisasi dalam talian tidak seharusnya membuatkan kita menganggapnya sememangnya berbahaya atau merosakkan. 

Dengan merebut kembali identiti, penguasa dan masyarakat sebagai kuasa untuk kebaikan dan bukannya keburukan, platform yang sama yang memperkukuh ideologi melampau boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh suara kesederhanaan agama dan autoriti yang tulen.

Alam digital pada dasarnya tidak merosakkan wacana agama; sebaliknya, ia bertindak sebagai cermin dan pembesar. 

Dengan mengalihkan tumpuan daripada penggunaan pasif kepada penglibatan yang disengajakan, di mana pengguna menyusun kandungan mereka sendiri dan mencari pelbagai suara, teknologi menjadi alat penting untuk mengukuhkan iman ke arah keamanan dan menolak ciri-ciri ekstremisme.

Dr Mohamed Ali merupakan Zamil Kanan, dan Joshua Wong Jia Hao ialah Penganalisis Penyelidikan, di Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam RSIS Commentary.