Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita ditemui hidup, operasi cari mangsa gempa Colombia dipergiat
Penemuan beri harapan temui lagi mangsa yang mungkin masih hidup
PEREIRA (Colombia): Pasukan penyelamat Colombia berjaya mengeluarkan seorang wanita berusia 32 tahun dalam keadaan hidup daripada runtuhan bangunan pada 11 Ogos, mencetuskan sorakan ketika operasi mencari mangsa gempa bumi terkuat melanda negara itu dalam tempoh kira-kira satu abad diteruskan.
Cik Daniela Largo dibawa keluar dari timbunan runtuhan dengan tubuhnya diselimutkan kain biru, ketika anggota penyelamat saling berpelukan dan anggota keluarganya bersorak kegembiraan.
Pihak berkuasa kemudian menyemak turun angka korban kepada 216 orang selepas pegawai tempatan di Cali membetulkan jumlah kematian yang dilaporkan sebelum ini.
Ibu Cik Daniela, Cik Sandra Milena Perez, berkata keluarganya hampir berputus asa sebelum menerima berita bahawa anaknya mungkin masih hidup di bawah runtuhan.
“Kami hampir kehilangan harapan sebelum menerima satu panggilan,” katanya di Pereira.
Menurutnya, seorang penduduk terdengar jeritan meminta pertolongan dari bawah runtuhan sebelum bersama jiran mula mengalihkan serpihan bangunan sehingga pasukan penyelamat profesional tiba.
“Terima kasih kepadanya, hari ini kami gembira,” kata Cik Perez.
“Di rumah, anak lelakinya yang berusia 12 tahun sedang menunggunya.”
Kejayaan itu memberi harapan kepada pasukan penyelamat yang berlumba dengan masa mencari mangsa yang mungkin masih hidup selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda bahagian barat Colombia pada 10 Ogos.
Di tengah Pereira, antara bandar paling teruk terjejas, anggota penyelamat berulang kali meminta semua orang berdiam diri supaya mereka dapat mengesan suara atau pergerakan dari bawah timbunan konkrit dan besi yang berselirat.
Jentera berat dihentikan dan sukarelawan turut berhenti bekerja ketika alat pengesan bunyi digunakan untuk mencari tanda kehidupan.
Sebahagian penduduk yang menyaksikan operasi itu menutup mata dan berdoa agar lebih ramai mangsa dapat diselamatkan.
“Kami menunggu sebarang tanda kehidupan dan sentiasa berharap mereka akan menemui seseorang yang masih hidup,” kata Cik Isabella Montoya, 21 tahun, seorang pelajar perubatan yang menjadi sukarelawan di dataran utama Pereira.
Beliau sehari sebelumnya membantu merawat mangsa gempa ketika bertugas di bahagian kecemasan sebuah hospital tempatan.
Di Pereira dan Cali, pasukan kecemasan menggunakan kren, anjing pengesan dan jentera berat untuk mencari mangsa, sementara sukarelawan membentuk rantaian manusia bagi mengalihkan batu-bata dan serpihan bangunan dengan tangan.
Seorang sukarelawan di Cali, Encik Pablo Cesar Ruiz, berkata mereka terus menggali meskipun menyedari peluang menemui mangsa yang masih hidup semakin berkurangan.
“Kami melakukannya dengan tangan, menggunakan sarung tangan,” katanya.
“Sedih melihat masa terus berlalu.”
Ramai penduduk pula bermalam di taman dan kawasan terbuka kerana kediaman mereka musnah atau bimbang gegaran susulan akan menyebabkan bangunan yang sudah rosak runtuh.
Di sebuah taman di Pereira, khemah dan tilam didirikan untuk dijadikan pusat perlindungan sementara.
“Kami kehilangan segala-galanya, tetapi kami masih hidup,” kata Encik John Tabasco, 23 tahun, yang berlindung di situ bersama isteri dan anak lelakinya berusia tujuh bulan.
“Kami tidak pernah berada dalam keadaan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membantu kami. Sukar dipercayai betapa cepat kehidupan boleh berubah.”
Presiden Colombia, Encik Abelardo de la Espriella, tiba di Pereira pada pagi 11 Ogos untuk meninjau kemusnahan dan menyelia usaha bantuan, hanya beberapa hari selepas memulakan penggal empat tahunnya.
Bencana itu menjadi antara ujian besar pertama pemerintahannya selepas beliau memenangi pilihan raya dengan majoriti tipis.
Selepas meninjau kawasan terjejas, Encik De la Espriella mengumumkan penangguhan pembayaran bil kemudahan selama tiga bulan bagi penduduk terjejas serta bantuan kewangan untuk menyewa kediaman sementara.
Beliau turut mengisytiharkan darurat, sementara Menteri Kewangan, Encik Miguel Gomez, berkata pemerintah merancang mengisytiharkan darurat ekonomi bagi membolehkan dana tambahan disalurkan dengan lebih cepat untuk menangani bencana.
Sebahagian penduduk Pereira memuji kepantasan anggota penyelamat dan jentera berat dihantar ke kawasan bencana.
Bagaimanapun, beberapa keluarga yang bermalam di taman berkata mereka masih belum menerima bantuan pemerintah.
Bekalan elektrik turut terganggu di beberapa kawasan, lampu isyarat tidak berfungsi dan jalan raya masih dipenuhi serpihan bangunan.
Kesan gempa itu turut dirasai sektor ekonomi.
Eksport kopi sebahagian besarnya tergendala akibat gangguan operasi di pelabuhan utama eksport kopi serta jalan raya yang terputus.
Lapangan terbang antarabangsa Cali telah dibuka semula, manakala landasan di Pereira, Buenaventura, Cartago dan Manizales boleh digunakan bagi penerbangan bantuan kemanusiaan dan pemerintah, tetapi masih terhad untuk penerbangan komersial.
Di Manizales, kira-kira 50 kilometer ke timur laut Pereira, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, sekitar 2,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan 60 bangunan runtuh sepenuhnya atau sebahagiannya.
Encik De la Espriella turut berjanji melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memulihkan Cathedral Basilica of Our Lady of the Rosary di Manizales selepas salah sebuah menaranya runtuh akibat gempa.
Amerika Syarikat mengumumkan bantuan kecemasan AS$15.5 juta ($19.9 juta) bagi menyediakan tempat perlindungan, makanan dan bantuan lain serta menyokong penilaian kerosakan.
Brazil, Mexico, Ecuador dan beberapa negara lain turut menawarkan bantuan.
Pada masa sama, rakyat Colombia sendiri menggerakkan usaha besar-besaran membantu mangsa.
Ribuan orang membawa air, makanan dan bekalan ke kawasan terjejas, sementara orang ramai beratur untuk menderma darah.
Ketika gegaran susulan terus dirasakan, anggota penyelamat meneruskan pencarian di celah runtuhan dengan harapan masih ada suara, ketukan atau jeritan yang dapat membawa mereka kepada mangsa yang masih hidup. – Agensi berita.
