TOKYO: Seorang wanita Jepun berusia 108 tahun, Shitsui Hakoishi, telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai tukang gunting tertua di dunia dan berazam untuk terus bekerja sekurang-kurangnya hingga usia 110 tahun.
Cik Hakoishi, yang dilahirkan pada tahun 1916, mula menceburi bidang ini pada usia 14 tahun selepas ditawarkan oleh rakan ibunya untuk menjadi pembantu di sebuah salun rambut di Tokyo. Sejak itu, beliau terus menimba pengalaman dan mengasah kemahirannya dalam seni gunting rambut tanpa pernah berpaling ke belakang.
Dalam satu majlis khas di Nakagawa, wilayah Tochigi, beliau diraikan bersama dua anaknya yang kini berusia 85 dan 81 tahun. “Saya sangat gembira. Hati saya dipenuhi rasa syukur dan kegembiraan,” katanya ketika menerima sijil pengiktirafan.
Menurut Guinness World Records, kategori tukang gunting tertua ini dibahagikan kepada lelaki dan wanita. Sebelum ini, tukang gunting lelaki tertua ialah Anthony Mancinelli dari New York, yang masih bekerja sehingga usia 107 tahun sebelum beliau meninggal dunia.
Cik Hakoishi berkahwin pada awal usia 20-an dan membuka sebuah salun bersama suaminya. Namun, suaminya telah dikerah untuk berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua dan tidak pernah kembali. Malang menimpa apabila kediaman yang juga menjadi salunnya musnah dalam serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat di Tokyo.
Bagaimanapun, beliau dan anak-anaknya terselamat kerana telah berpindah ke kampung halamannya di Nakagawa sebelum serangan berlaku. Beberapa tahun selepas perang, Cik Hakoishi bangkit semula dan membuka salun baharu di Nakagawa, tempat beliau masih bekerja sehingga ke hari ini.
Walaupun kini tinggal di rumah jagaan, beliau masih mampu menguruskan diri sendiri dan terus menerima tempahan daripada pelanggan lama yang ingin mendapatkan perkhidmatan gunting rambut daripadanya.
Pada tahun 2021, Cik Hakoishi turut menjadi pembawa obor Olimpik Tokyo, berjalan sejauh 200 meter sebagai simbol semangat dan ketahanan. Semangatnya untuk bekerja juga tidak pernah luntur, malah beliau sudah menetapkan sasaran baru bagi dirinya.
“Saya akan menyambut ulang tahun ke-109 pada tahun depan (2025), tetapi saya mahu terus bekerja keras sehingga usia 110 tahun,” katanya dengan penuh yakin. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg