Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita Thai dihukum mati racuni rakan dengan sianida, pertama daripada 14 kes bunuh dihadapinya

Nov 21, 2024 | 12:42 PM
Cik Thongpin Kiatchanasiri, ibu kepada mangsa Cik Siriporn Kanwong, memegang gambar anak perempuannya ketika bercakap dengan media di luar Mahkamah Jenayah Bangkok pada 20 November
Cik Thongpin Kiatchanasiri, ibu kepada mangsa Cik Siriporn Kanwong, memegang gambar anak perempuannya ketika bercakap dengan media di luar Mahkamah Jenayah Bangkok pada 20 November - Foto EPA-EFE

BANGKOK: Seorang wanita Thailand dipercayai sebagai antara pembunuh bersiri paling dahsyat dalam sejarah negara itu setelah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati pada 20 November kerana meracuni rakannya dengan sianida (cyanide).

Perbicaraan tersebut adalah yang pertama daripada 14 kes dakwaan membunuh yang dihadapinya.

Sararat Rangsiwuthaporn, 36 tahun, seorang kaki judi dalam talian, dituduh menipu beribu-ribu dolar daripada mangsanya sebelum membunuh mereka dengan bahan kimia itu.

Mahkamah di Bangkok mensabitkan kesalahannya pada 20 November kerana meracun rakannya, Cik Siriporn Kanwong.

Mahkamah diberitahu bahawa kedua-duanya bertemu di Bangkok pada April 2023 untuk melepaskan ikan ke sungai Mae Klong sebagai sebahagian daripada upacara Buddha.

Cik Siriporn rebah dan meninggal dunia tidak lama kemudian dan penyiasat menemui kesan sianida dalam badannya.

Polis kemudian dapat mengaitkan Sararat dengan kes-kes keracunan sianida yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini sejak 2015, kata pegawai.

“Keputusan mahkamah adalah adil,” kata ibu mendiang Cik Siriporn, Cik Tongpin Kiatchanasiri, kepada wartawan.

“Saya ingin memberitahu anak perempuan saya bahawa saya amat merinduinya, dan keadilan telah dicapai untuknya hari ini,” tambahnya.

Polis berkata Sararat membiayai tabiat tahi judinya dengan meminjam wang daripada mangsa-mangsanya itu.

Dalam salah satu kes, dia telah meminjam sebanyak 300,000 baht ($11,600) daripada mangsa sebelum membunuh dan mencuri barang kemas dan telefon bimbit si mangsa.

Dia memikat 15 orang – seorang daripadanya terselamat – supaya mengambil ‘kapsul herba’ beracun, kata polis.

Sararat menghadapi 13 lagi perbicaraan kes bunuh berasingan, dan telah didakwa dengan kira-kira 80 kesalahan secara keseluruhan.

Bekas suaminya – seorang leftenan kolonel polis – dijatuhi hukuman penjara 16 bulan manakala bekas peguamnya pula dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana bersubahat dalam pembunuhan Cik Siriporn, kata peguam keluarga mangsa.

Thailand telah menjadi tempat beberapa kes jenayah keji dan berprofil tinggi sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2024, enam warga asing ditemui mati di sebuah hotel mewah di Bangkok selepas kes keracunan sianida dipercayai berkait dengan hutang bernilai jutaan baht. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg