JAWA TENGAH: Seorang lelaki ditahan polis tempatan selepas didakwa membunuh adik kandungnya dalam satu kejadian pada 7 April.
Menukil laporan media tempatan, suspek mendakwa terdengar satu bisikan yang menyuruhnya membunuh mangsa.
Disebabkan bisikan tersebut, suspek masuk ke bilik dan membunuh adiknya yang sedang tidur.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Blora, AKP Selamet, menjelaskan: “Suspek berbuat demikian kerana menerima bisikan daripada arwah abangnya untuk membunuh adiknya.”
Beliau menambah kejadian berlaku sekitar 1 pagi di Desa Sambeng, Kecamatan Todanan.
Susulan daripada itu, suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan. Pihak polis turut merampas sejumlah barang bukti termasuk sebilah parang yang diperbuat daripada besi karat sepanjang 50 sentimeter.
Hasil siasatan awal mendapati, suspek kemungkinan mengalami gangguan mental namun pihak polis masih menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan daripada pihak hospital.
AKP Selamet turut menjelaskan suspek sempat menjalani rawatan bagi gangguan mental yang dialami namun siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan kepastian. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg