BANDAR GAZA: Rakyat Palestin yang berbekalkan periuk dan baldi plastik berebut nasi di dapur amal di Bandar Gaza pada 23 Ogos, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan kebuluran di wilayah yang dilanda perang itu.
Rakaman agensi berita AFP di bandar terbesar di Gaza, yang Israel merancang untuk merampas sebagai sebahagian daripada ofensif tentera yang diperluaskan, menunjukkan wanita dan kanak-kanak bersesak-sesak sambil menjerit meminta makanan.
Seorang budak lelaki menggunakan tangannya untuk mengikis sisa makanan dari dalam periuk memasak.
Seorang budak perempuan pula dilihat duduk di tepi khemah dan mencedok nasi yang tumpah di atas tanah.
“Kami tiada rumah, tiada makanan, tiada pendapatan... jadi kami terpaksa datang ke dapur amal tetapi ia tidak cukup untuk mengatasi kelaparan kami,” kata Encik Yousef Hamad, 58 tahun, yang dipindahkan dari bandar utara Beit Hanoun.
Lebih jauh ke selatan di dapur amal di Deir al-Balah, Cik Umm Mohammad, 34 tahun, berkata PBB sudah terlambat apabila ia mengisytiharkan kebuluran di Gaza.
“Kanak-kanak tidak dapat bangun kerana tiada tenaga akibat kekurangan makanan dan air,” keluhnya.
PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza pada 22 Ogos, menyalahkan “halangan sistematik” oleh Israel terhadap bantuan kemanusiaan selama lebih 22 bulan perang.
Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang berpangkalan di Rome, Italy, berkata kebuluran melanda 500,000 orang di Gaza, yang meliputi kira-kira satu perlima wilayah Palestin, termasuk Bandar Gaza.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menolak laporan itu sebagai “pembohongan semata-mata”.
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini, pada 23 Ogos berkata, sudah tiba masanya pemerintah Israel berhenti menafikan kebuluran yang telah ditimbulkannya di Gaza.
Encik Lazzarini memberi amaran bahawa penghantaran keperluan melalui udara sahaja tidak mampu mengelakkan masalah kebuluran yang semakin buruk.
“Semua mereka yang mempunyai pengaruh mesti menggunakannya dengan tekad dan rasa tanggungjawab moral,” kata beliau menerusi platform X.
IPC mengunjurkan bahawa kebuluran akan meluas ke daerah Deir al-Balah dan Khan Younis menjelang akhir September, meliputi sekitar dua pertiga Gaza.
Sementara itu, Israel meneruskan pengebomannya ke atas wilayah Palestin, dengan rakaman AFP menunjukkan asap tebal berkepul-kepul di ruang udara daerah Zeitun di Bandar Gaza.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, menyifatkan keadaan di kawasan kejiranan Sabra dan Zeitun sebagai “benar-benar dilanda malapetaka”, menggambarkan bangunan kediaman yang musnah menyembah bumi.
“Kami terperangkap di sini, hidup dalam ketakutan, tiada tempat untuk pergi. Tiada keselamatan di mana-mana di Gaza. Pergerakan kami kini membawa ke jalan kemusnahan,” kata Encik Ahmad Jundiyeh, 35 tahun, yang dipindahkan ke pinggir utara Zeitun.
“Kami sentiasa mendengar bunyi pengeboman... kami dengar jet pejuang, tembakan meriam dan juga letupan dron.
“Kami sangat takut dan rasanya seperti kiamat sudah dekat,” katanya kepada pemberita menerusi telefon.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berikrar pada 22 Ogos bahawa Israel akan memusnahkan Bandar Gaza jika Hamas tidak bersetuju melucutkan senjata, membebaskan semua baki tebusan yang ditahan di wilayah itu dan menamatkan perang mengikut syarat yang ditetapkan Israel.
Penduduk Bandar Gaza berkata serangan Israel yang menyasarkan kawasan itu tidak henti-henti selama beberapa hari.
“Biarkan mereka datang dan lihat apakah yang berlaku kepada kami di sini di daerah Zeitun.
“Kami hilang segala-galanya,” kata Encik Aymen Daloul, 53 tahun, dari Bandar Gaza yang rumahnya telah punah-ranah.
“Kami tidur di jalanan seolah-olah kami seperti lembu, kasihanilah kami,” rayu beliau.
Encik Mahmud Abu Saqer, 24 tahun, berkata penghijrahan penduduk kini semakin cepat sejak Israel mengumumkan rancangannya untuk merampas Bandar Gaza.
“Baru pagi ini, lebih 500 hingga 600 keluarga telah bergerak ke tempat lain dan semalam pula beribu-ribu telah bertolak.
“Bunyi letupan sejak pagi memaksa semua orang meninggalkan rumah masing-masing,” tambahnya.
Perang meletus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,200 orang, kebanyakannya orang awam.
Serangan balas dan berterusan Israel hingga kini telah membunuh sekurang-kurangnya 62,622 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Jurucakap pertahanan awam, Encik Bassal, berkata serangan dan pengeboman Israel di serata Gaza pada 23 Ogos membunuh sekurang-kurangnya 51 orang. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg