JAKARTA: Seorang lelaki warga Singapura ditahan di utara Jakarta pada 17 Julai selepas pihak berkuasa Indonesia menyerbu rumah yang dijadikan makmal memproses vape mengandungi dadah jenis etomidate, atau lebih dikenali sebagai Kpods.

Media tempatan, IDN Times, mengenal pasti suspek berusia 34 tahun itu dengan nama singkatan LHM, yang juga menggunakan alias ‘Hayden’.

“Kami menahan seorang warga asing dari Singapura dan merampas beribu-ribu bahan bukti dalam operasi tersebut,” kata Ketua Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Pesuruhjaya Kanan Wisnu Wardana, seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi Antara.

Beliau menambah bahawa suspek sedang “memasak” atau mengadun bahan etomidate berkenaan apabila polis lapangan terbang bersama agensi kastam menyerbu kediaman itu.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan tersebut termasuk ribuan kartrij atau bekas vape mengandungi dadah yang sedia untuk diedarkan serta peralatan makmal mini yang digunakan untuk menghasilkan etomidate.

Antara melaporkan bahawa operasi makmal haram dari rumah itu baru sahaja bermula sehari sebelum serbuan dijalankan.

Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kartrij yang telah dihasilkan serta tempoh sebenar operasi berkenaan telah aktif.

Menurut Encik Wisnu, suspek bersama semua barangan bukti telah dibawa ke balai polis lapangan terbang untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Rumah yang dijadikan tempat pengeluaran dadah tersebut, yang terletak di kawasan perumahan mewah Pantai Indah Kapuk (PIK), kini telah disita dan dikawal polis.

Sementara itu, Ketua Unit Narkotik Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Encik Michael Kharisma Tandayu, mendedahkan bahawa rumah tersebut disewa oleh seorang lagi warga Singapura.

Individu berkenaan dipercayai telah mengupah suspek dengan sasaran untuk menghasilkan 500 kartrij vape etomidate sehari.

Encik Michael menambah bahawa suspek telah tiba di Indonesia pada 13 Julai lalu.

Menurut Encik Wisnu, serbuan tersebut berjaya dilakukan hasil susulan daripada siasatan ke atas rampasan dua botol berisi 2,200 gram etomidate yang diseludup masuk dari Malaysia sebelum disekat oleh pihak kastam lapangan terbang.

Jumlah bahan mentah yang dirampas itu dianggarkan mampu menghasilkan sehingga 2,000 kartrij vape dadah.

Pihak polis dan kastam kemudian melancarkan operasi bersama bagi melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah berkenaan, yang akhirnya membawa serbuan ke rumah mewah di PIK itu. – Agensi berita.