Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 1,700 disiasat polis, termasuk bagi kesalahan vape, ubah suai AMD
Lebih 1,700 disiasat polis, termasuk bagi kesalahan vape, ubah suai AMD
Lebih 1,700 disiasat polis, termasuk bagi kesalahan vape, ubah suai AMD
Lebih 1,700 individu sedang disiasat atas pelbagai kesalahan menyusuli operasi seluruh negara melibatkan pelbagai agensi dari 1 hingga 28 Jun.
Dalam kenyataan pada 5 Julai, polis berkata individu yang disiasat terdiri daripada 1,173 lelaki dan 603 wanita berusia antara 15 dengan 85 tahun.
Daripada jumlah itu, 519 orang ditangkap.
Lebih 5,600 pegawai daripada tujuh divisyen darat polis, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Polis Trafik (TP) bekerjasama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Mereka menjalankan lebih 1,300 operasi membanteras pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan di bawah Akta Piagam Wanita dan Akta Pertubuhan, kesalahan berkaitan vape, kesalahan trafik, kesalahan imigresen serta kesalahan mengambil pekerja haram.
Pada 4 dan 10 Jun, pegawai Divisyen Polis Woodlands menjalankan dua serbuan membanteras perjudian di Sembawang Road dan Yishun Street 61.
Seramai 12 lelaki dan lima wanita berusia 34 hingga 72 tahun ditangkap, manakala wang tunai melebihi $4,740 serta peralatan perjudian dirampas.
Pada 26 Jun, pegawai Divisyen Polis Ang Mo Kio, dengan sokongan CID dan LTA, menjalankan operasi penguatkuasaan bersama di Sengkang dan Punggol.
LTA mengenal pasti 25 kesalahan dan menyita 15 alat mobiliti aktif (AMD).
Kesalahan termasuk penggunaan AMD yang tidak mematuhi piawaian, kegagalan mendaftarkan alat mobiliti peribadi serta kesalahan lain berkaitan mobiliti aktif.
Tiga remaja berusia 16 hingga 19 tahun turut ditangkap kerana disyaki menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Operasi turut merangkumi rumah urut dan kegiatan maksiat, termasuk pada 6 Jun di Jalan Mas Puteh, apabila dua unit didapati beroperasi tanpa lesen sah dan terbabit dalam kegiatan maksiat.
Lapan wanita berusia 29 hingga 48 tahun ditangkap.
Satu lagi operasi antara 10 dengan 13 Jun oleh Divisyen Polis Tanglin, dengan sokongan CID dan HSA, merangkumi rumah urut, hotel, unit komersial dan unit hiburan awam di sekitar Balestier Road, Selegie Road, River Valley Road, Clarke Quay dan Sinaran Drive.
Seramai 41 wanita dan empat lelaki berusia 24 hingga 47 tahun, serta tiga unit urut dan tiga unit hiburan awam, sedang disiasat. Tujuh vape turut disita.
Polis berkata siasatan terhadap 1,776 individu itu masih diteruskan.
Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, Encik Leon Chan, Pengarah Jabatan Operasi Pasukan Polis Singapura (SPF), memuji profesionalisme dan dedikasi semua agensi penguatkuasaan.
“Keselamatan dan keamanan awam ialah tanggungjawab bersama. Polis bersama agensi pemerintah akan terus melaksanakan penguatkuasaan terselaras dan bersasar bagi mencegah, mengesan serta membanteras jenayah,” katanya, sambil menegaskan bahawa mereka yang terbabit dalam kegiatan jenayah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
