Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang menyiasat sindiket transnasional yang disyaki terlibat dalam membekalkan rokok elektronik yang mengandungi bahan psikoaktif etomidate, atau dikenali sebagai Kpod, di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Penguap (TVCA).

Dalam satu kenyataan pada 30 Jun, HSA menyatakan ini kali pertama kes seumpama itu berlaku di Singapura, menyusuli penangkapan empat lelaki semasa operasi penguatkuasaan pada 23 Jun yang dijalankan di beberapa lokasi.

Operasi itu menyaksikan 1,111 Kpod dan wang tunai berjumlah lebih $6,000 dirampas oleh pihak berkuasa, kata HSA.

Penguasa itu menambah bahawa ujian makmal mengesahkan vape yang dirampas mengandungi etomidate, dengan nilai jalanan Kpod yang dirampas dianggarkan melebihi $83,000.

Menurut kertas tuduhan, suspek pertama, Willy Poh, dikenakan satu tuduhan membekal Kpod di bawah TVCA selepas ditemui dengan 1,000 Kpod apabila dia ditahan di sebuah flat di Blok 487A Tampines Avenue 9.

Suspek kedua, Kong Qi Cong, juga dikenakan satu tuduhan membekal Kpod di bawah TVCA selepas ditemui dengan 111 Kpod apabila ditahan di sebuah flat di Blok 3 Teck Whye Avenue. Kedua-duanya berusia 32 tahun.

Menurut HSA, suspek ketiga dan keempat dikenal pasti sebagai Tobias Tan, 27 tahun, dan Michael Jordan Tan, 31 tahun.

Kedua-duanya ditahan secara berasingan dan disyaki bersekongkol dengan orang lain untuk membekalkan Kpod, kata HSA.

Ia menambah bahawa kesemua suspek telah didakwa di mahkamah pada 24 Jun, dan kes mereka akan didengar lagi pada 1 Julai.

“HSA memandang serius kesalahan mengedar vape dan etomidate. Di bawah TVCA, etomidate dan bahan seumpama yang mengandungi etomidate disenaraikan sebagai Bahan Psikoaktif Tertentu dalam Jadual,” ujarnya lagi.

HSA berkata penangkapan empat lelaki ini adalah berikutan siasatan kes pada Mei 2026, dengan kpod bernilai lebih $800,000 telah dirampas daripada dua warga Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Awal dari itu pada 30 Jun, Poh dan Qi Cong dibawa ke tempat letak kereta bertingkat di Blok 226D Compassvale Walk di Sengkang.

Poh tiba di lokasi sekitar 2.40 petang, manakala Qi Cong tiba selang lebih kurang 15 minit selepas itu setelah suspek pertama beredar dari lokasi.

Mereka diiringi pegawai HSA untuk membantu pegawai penguatkuasa dalam siasatan.

Bagi kesalahan membekalkan Kpod, pesalah boleh dipenjara dua hingga 10 tahun, dengan dikenakan dua hingga lima sebatan.

Gejala penggunaan vape, khususnya Kpod, menjadi perhatian pada 2025 setelah beberapa pengguna dilihat berkelakuan seperti zombi, mengalami sawan dan episod psikotik.

Dalam kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA pada 4 Mei, seramai 2,589 individu telah ditangkap kerana memiliki dan menggunakan vape dalam tempoh tiga bulan pertama 2026.

Daripada mereka yang ditangkap itu, 2,212 adalah pesalah yang biasa menggunakan vape. Baki 377 individu pula ditangkap atas kesalahan melibatkan kpod.

Dalam tempoh tersebut juga, lebih 36,000 vape dan komponen berkaitan telah dirampas di pusat pemeriksaan dan 24 kes penyeludupan telah dipatahkan, kata pihak berkuasa, dengan 13 penjual vape dan 11 penyeludup pula telah didakwa.