Polis di Batam, Indonesia, telah menahan seorang warga Singapura kerana didakwa melakukan penderaan seksual terhadap anak tirinya yang bawah umur selama lebih dua tahun.
Polis menahan lelaki berusia 50 tahun itu, yang dikenali sebagai AH, di rumahnya di kompleks perumahan Mutiara View di Sekupang, Batam, Kepulauan Riau, pada 7 September lepas. Mereka turut merampas dua telefon bimbit dan pasport, antara lain.
“Berdasarkan siasatan kami, penjenayah telah melakukan persetubuhan kira-kira 120 kali dengan mangsa. Dia melakukan itu berulang kali setiap minggu semasa pulang ke Batam,” kata Pesuruhjaya Kanan Polis Encik Heribertus Ompusunggu, ketua polis daerah Barelang, pada 21 September.
Di bawah undang-undang Indonesia, sebarang perbuatan seksual dengan seseorang di bawah 18 tahun, tanpa atau dengan persetujuan bersama, termasuk melalui pujukan atau penipuan, dianggap sebagai jenayah.
Kes itu terbongkar selepas polis Sekupang menerima laporan daripada rakan ibu kepada mangsa yang baru berusia 16 tahun itu. Mangsa hanya dikenali sebagai AF untuk melindungi identitinya.
Dakwaan penderaan seksual itu bermula sejurus selepas AF, yang pernah tinggal bersama neneknya di Karawang, Jawa Barat, berpindah ke Batam untuk bersama ibunya pada Jun 2022.
Oleh kerana tinggal di bawah satu bumbung, AH, isterinya dan anak tirinya, AF sering tidur bersama dalam bilik dan katil yang sama.
Pada suatu hari pada Julai 2022, anak gadis itu tidur sebilik dengan AH manakala ibunya tidur di bilik lain.
AH didakwa melakukan serangan seksual itu setelah memberi AF minuman bercampur bunga melati, kata polis.
Pada 7 September 2024, ibu mangsa meminta rakannya membantu mereka melarikan diri dari rumah kerana beliau tidak tahan lagi dengan tindakan ganas suaminya dan penderaan seksual terhadap anak perempuannya.
Ibu mangsa takut melaporkan kes itu kerana penjenayah didakwa sering mengugut untuk membunuhnya, kata Pesuruhjaya Kanan Encik Heribertus.
Polis telah menahan AH untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak 2016.
Jika didapati bersalah, dia boleh menerima hukuman penjara lima hingga 15 tahun, serta hukuman tambahan satu pertiga daripada hukuman penjara kerana statusnya sebagai bapa tiri mangsa, menurut polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg