Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki suruh anak perempuan 10 tahun laku tindakan seks ke atasnya

Aug 20, 2024 | 3:51 PM
Seorang bapa 55 tahun telah memaksa anak perempuannya 10 tahun memegang kemaluannya dan menunjukkan video pornografi kepadanya
Seorang bapa 55 tahun telah memaksa anak perempuannya 10 tahun memegang kemaluannya dan menunjukkan video pornografi kepadanya - Foto FAIL

Seorang bapa yang menunjukkan pornografi kepada anak perempuannya yang berusia 10 tahun dan memaksanya melakukan satu perbuatan seks ke atasnya dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh, memberi kecaman keras terhadap lelaki itu.

“Kesalahan yang anda lakukan terhadap anak perempuan anda sendiri adalah kesalahan yang sangat serius. Ia sangat salah, ia sangat keji,” kata Hakim Soh.

Lelaki berusia 55 tahun itu mengaku bersalah pada 20 Ogos bagi satu pertuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA). Dia tidak boleh dinamakan kerana perintah sekatan untuk melindungi identiti mangsa.

Satu pertuduhan menunjukkan pornografi kepada seseorang di bawah umur 21 tahun dan satu lagi pertuduhan memiliki filem lucah diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Yohanes Ng berkata ketika kesalahan dilakukan pada 2019, lelaki itu tinggal bersama isteri, ibu bapa mentua, dua anak lelakinya dan mangsa.

Pada suatu hari pada tahun itu, lelaki tersebut, yang kerap minum minuman keras, minum seperti biasa dan berasa mabuk di rumah.

DPP Ng berkata lelaki itu mahu mendapatkan keseronokan seksual, dan meminta anak perempuannya menyentuh alat kemaluannya.

Apabila anaknya enggan, lelaki itu memegang tangannya dan menyuruhnya melakukan perbuatan tidak senonoh itu.

Dalam tiga atau empat kejadian lain, lelaki itu menunjukkan video lucah kepada anak perempuannya yang dia diterima daripada rakan-rakannya, tetapi dia tidak melakukan perkara yang sama terhadap dua anak lelakinya.

Mangsa berasa tidak selesa akibat kejadian ini tetapi tidak memberitahu sesiapa pada mulanya, kata pendakwa raya.

Dia akhirnya membuat laporan polis pada Februari 2023. Dokumen mahkamah tidak menyatakan apa yang mendorongnya berbuat demikian.

Lelaki itu ditahan sehari selepas laporan polis dibuat. Polis menemui 140 filem lucah di telefon bimbitnya.

Menghadapi mahkamah tanpa peguam, lelaki itu berkata melalui jurubahasa: “Saya benar-benar menyesali apa yang telah saya lakukan. Saya menyesal.”

Lelaki itu menambah bahawa dia adalah pencari nafkah tunggal, dan meminta keringanan daripada Hakim Soh.

DPP Ng menulis dalam hujahan hukumannya bahawa peranan seorang bapa dalam kehidupan kanak-kanak sepatutnya menjadi pelindung, penyedia dan orang tua, tetapi tertuduh menyalah guna kepercayaan anak kandungnya untuk kepuasan seksual.

Beliau menulis: “Dia akan berada di penjara lebih singkat dari masa yang mangsa perlu hidup dengan kenangan pahit tentang bapa kandungnya.

“Setelah bertindak sewenang-wenang terhadap anak perempuannya sendiri untuk memuaskan nafsunya, tertuduh kini mesti menanggung akibat daripada tindakannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg