SUNGAI SIPUT (Perak): Suspek kes rogol dan bunuh kanak-kanak Orang Asli, Allahyarham Nuraina Humaira Rosli, 10 tahun, di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, telah dikenakan tahanan reman tujuh hari sehingga 25 Ogos.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu – yang juga saudara terdekat kepada mangsa yang juga murid Tahun Empat itu – ditahan polis untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Insiden tragis menimpa Allahyarham Nuraina Humaira menyayat hati apabila mayatnya ditemui di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah pada 4.20 petang, 17 Ogos, hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 Ogos.
Laporan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Sungai Siput terhadap mangsa mengesahkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat dibunuh, selain dipercayai turut dirogol, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata susulan itu kes yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.
“Keputusan bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyakan di kemaluan mangsa,” katanya.
Keluarga mangsa sukar menerima kenyataan pemergian Allahyarham Nuraina Humaira dalam keadaan tragis sedemikian, namun reda dengan ketentuan Ilahi.
Bapa mangsa, Encik Rosli Mahadi, 48 tahun, berkata kawasan mayat anaknya ditemui tidak jauh dari rumahnya iaitu kira-kira 100 meter, namun kawasan itu sangat jarang dikunjungi penduduk di situ kerana banyak haiwan berbisa.
“Penduduk tak akan pergi ke kawasan itu dan kami melarang ahli keluarga ke sana kerana banyak binatang berbisa. Saya pasti Nuraina Humaira tak ke sana seorang diri.
“Kawasan berpaya itu jarang dilalui orang sebab berair, dan hendak bercucuk tanam pun tidak sesuai di situ malah memang banyak ular berbisa di situ.
“Lagipun selalunya kalau Nuraina Humaira ke mana-mana memang dia akan maklumkan pada keluarga, selalunya kepada emaknya,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg