Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wartawan bertugas di medan perang kongsi perjuangan lapor berita dari Gaza

Oct 26, 2023 | 12:51 PM
BERANIKAN DIRI: Wartawan agensi berita Reuters, Encik Mohammed Salem, bergambar bersama kameranya ketika menjalankan tugas membuat laporan  perang Israel-Palestin daripada sebuah bangunan di bandar Gaza.
BERANIKAN DIRI: Wartawan agensi berita Reuters, Encik Mohammed Salem, bergambar bersama kameranya ketika menjalankan tugas membuat laporan perang Israel-Palestin daripada sebuah bangunan di bandar Gaza. - Foto REUTERS

KHAN YUNIS (Wilayah Palestin): Beratus-ratus wartawan Palestin terpaksa melarikan diri ke selatan dari ibu kota Gaza dan dicengkam ketakutan dalam pada melindungi nyawa sendiri ketika serangan udara Israel membadai wilayah itu.

Khemah di halaman hospital telah menjadi bilik berita mereka pada siang hari dan tempat melelapkan mata pada malamnya.

Ada yang bekerja buat media tempatan dan ada buat organisasi berita antarabangsa.

Tetapi mereka semua mengalami pahit getir yang sama ketika menjalankan tugas di medan penuh keganasan dan penderitaan yang disebabkan perang Israel-Palestin.

Pada 7 Oktober, kumpulan militan Palestin, Hamas, melancarkan serbuan mengejut di selatan Israel. Lebih 1,400 orang terbunuh.

Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jaluran Gaza, yang diperintah Hamas. Israel berkata ia mahu memusnahkan kumpulan itu.

Tindakan balas tentera Israel telah membunuh lebih 6,500 penduduk Palestin di Gaza.

Sejak perang meletus, kesatuan wartawan Palestin mengatakan lebih 20 anggotanya telah terbunuh di wilayah itu.

Wakil media di wilayah Palestin pernah bekerja dari pejabat di Bandar Gaza.

Tetapi pengeboman Israel, yang memusnahkan banyak bangunan, memaksa organisasi berita memindahkan pasukan mereka ke arah selatan.

Beberapa ratus wartawan yang memberanikan diri, kini berkhemah di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Yunis.

Apabila mereka tidak keluar membuat laporan, mereka menggunakan khemah untuk bekerja pada siang hari dan tidur pada waktu malam.

Hospital penuh dengan wanita dan lelaki memakai jaket berlabel ‘press’ atau pemberita dan topi keledar sebagai pelindung kerana letupan kerap berlaku di kawasan berdekatan.

Kebersihan tandas agak memadai tetapi dengan adanya penjana elektrik di hospital ia cukup melegakan kerana wartawan boleh mengecas telefon, komputer riba, kamera dan peralatan lain yang membolehkan mereka terus melakukan tugas.

Bekalan air sering dipotong dan tanpa paip pancuran, mereka mandi dan mencuci pakaian ala kadar sahaja.

Di dalam khemah, ada yang tidur di atas tilam, yang lain di atas lantai tanah, menutup diri dengan apa sahaja yang ada.

Untuk mendapatkan privasi, ramai wanita tidur di dalam kereta mereka yang diletakkan di kawasan hospital.

“Sudah dua minggu saya bekerja dari Hospital Nasser,” kata Cik Wissam Yassin kepada AFP. Beliau bekerja untuk saluran televisyen Amerika Syarikat berbahasa Arab, Alhurra.

“Saya tidur dalam kereta. Saya minum sedikit air supaya tidak perlu selalu ke tandas. Pengeboman berlaku di sekeliling kita. Beberapa kali kami terpaksa meninggalkan kamera kami dan tidak menyiarkan siaran langsung.

“Untuk mandi, saya pergi ke rumah keluarga yang saya tidak kenal berhampiran hospital,’‘ tambahnya.

Cik Yassin telah membuat liputan beberapa serangan Israel terhadap Gaza, tetapi berkata beliau “tidak pernah mengalami keadaan yang begitu sukar”.

“Saya meninggalkan rumah saya di Gaza pada pagi 7 Oktober dan tidak kembali sejak itu,” katanya.

“Kadang-kadang saya tidak menjawab panggilan daripada anak perempuan saya yang berusia sembilan tahun kerana tangisannya menyayat hati dan saya tak tahu bagaimana hendak menenangkannya,’‘ kata beliau lagi. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg