Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO lanjut program suntik vaksin libat 40,000 kanak-kanak Gaza

Nov 20, 2025 | 4:59 PM
Gaza, WHO, vaksin, kanak-kanak gaza
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia akan menyuntik lebih 40,000 kanak-kanak dengan vaksin mencegah pelbagai penyakit di Gaza, bagi memanfaatkan tempoh gencatan senjata yang sedang berlangsung sekarang. - Foto REUTERS

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada 19 November ia akan menyuntik lebih 40,000 kanak-kanak dengan vaksin mencegah pelbagai penyakit di Gaza, bagi memanfaatkan tempoh gencatan senjata yang berlangsung sekarang.

Sejauh ini, WHO dan rakan kerjasamanya telah menyuntik lebih 10,000 kanak-kanak di bawah usia tiga tahun sejak lapan hari pertama fasa awal kempennya yang dilancarkan pada 9 November.

Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata fasa pertama program itu telah dilanjutkan hingga 22 November dan berharap untuk melindungi kanak-kanak terhadap difteria, hepatitis B, radang paru-paru, polio, campak, beguk, rubella, tetanus, tuberkulosis dan batuk.

Fasa kedua dan ketiga kempen itu, yang dijalankan dengan kerjasama Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), akan dijalankan pada Disember ini dan Januari 2026.

Dr Tedros berkata beliau “gembira melihat perjanjian gencatan senjata terus dilaksanakan kerana ia membolehkan WHO dan rakan kerjasamanya meningkatkan perkhidmatan kesihatan penting di seluruh Gaza dan turut menyokong pemerolehan semula peralatan kesihatan serta pembinaan semula sistem kesihatannya yang musnah akibat perang.”

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengundi pada 17 November untuk menyokong rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang memudahkan pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza mulai 10 Oktober.

Namun, gencatan senjata itu telah dicemari oleh beberapa insiden keganasan di wilayah Palestin, yang telah musnah akibat lebih dua tahun peperangan yang dicetuskan oleh serangan berdarah Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Serangan Hamas telah mengakibatkan 1,221 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan data rasmi AFP.

Lebih 69,500 rakyat Palestin pula telah terbunuh dan berpuluh ribu lagi cedera dalam serangan balas Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Wilayah Palestin itu hampir musnah sepenuhnya akibat perang tersebut.

Kementerian itu, yang angkanya dianggap boleh dipercayai oleh PBB, tidak menyatakan bilangan pejuang Hamas yang terbunuh tetapi menunjukkan lebih separuh daripada kematian melibatkan wanita dan kanak-kanak. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg