KAHIRAH: Sekurang-kurangnya 85 rakyat Palestin yang sakit dan cedera parah dari Gaza, termasuk 35 kanak-kanak, telah dipindahkan ke Abu Dhabi bagi rawatan khusus, kata ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Julai.
“Pemindahan bersama yang sangat rumit ini disokong oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE), WHO dan beberapa rakan lain.
“Ia merupakan pemindahan perubatan terbesar sejak Oktober 2023,” tulis Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, di laman X.
Pesakit yang dipindahkan itu mengalami pelbagai keadaan serius termasuk barah, masalah saraf dan penyakit jantung.
Mereka turut ditemani 63 ahli keluarga dan penjaga, kata Dr Ghebreyesus.
Sektor perubatan Gaza telah lumpuh selepas operasi ketenteraan selama hampir 10 bulan oleh Israel, didorong oleh serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan Israel yang mengorbankan lebih 1,400 orang dan menyebabkan 253 orang dijadikan tebusan.
Semasa konflik, Israel telah menyerbu dan mengebom hospital, mewajarkan tindakannya dengan mengatakan Hamas didakwa menggunakan kemudahan tersebut untuk tujuan ketenteraan.
Hamas pula menafikan tuduhan itu.
Banyak daripada kemudahan perubatan itu kini ditutup.
Pemindahan perubatan dari Gaza jarang berlaku sejak Mei apabila lintasan utama yang digunakan untuk pemindahan perubatan, Rafah, ditutup sedang Israel meningkatkan operasi ketenteraannya di selatan Gaza.
Sebelum ini, WHO berkata kira-kira 10,000 pesakit sedang menunggu untuk dipindahkan.
Sementara itu, tentera Israel meletupkan lebih 30 telaga air di Gaza pada Julai, kata seorang pegawai perbandaran dan juga penduduk.
Ini menambahkan lagi kepada trauma. Serangan udara telah menjadikan sebahagian besar wilayah Palestin itu menjadi tanah terbiar dan dilanda krisis kemanusiaan.
Ketua rangkaian air di bandar Khan Younis, Encik Salama Shurab, berkata perigi itu dimusnahkan oleh tentera Israel, antara 18 dengan 27 Julai di bandar selatan Rafah dan Khan Younis. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg