GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengumumkan bahawa agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu akan mengurangkan skala operasi dan jumlah kakitangan disebabkan kekurangan dana yang serius susulan pemotongan pembiayaan oleh Amerika Syarikat.
“Penurunan mendadak dalam sumber pendapatan telah menyebabkan jurang besar dalam pembayaran gaji, dan kami tiada pilihan selain mengurangkan skala kerja dan bilangan tenaga kerja,” kata Dr. Tedros kepada negara anggota dalam satu ucapan..
Langkah ini menyusuli keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menghentikan sepenuhnya sumbangan Amerika Syarikat kepada WHO bermula Januari tahun depan. AS sebelum ini merupakan penyumbang terbesar WHO, dengan sumbangan sebanyak AS$1.3 bilion ($1.71 bilion) bagi bajet 2022-2023, sebahagian besarnya melalui sumbangan sukarela untuk projek tertentu dan bukan melalui yuran keahlian tetap.
Namun, Amerika tidak membayar yuran keahlian bagi tahun 2024 dan tidak dijangka membayar untuk 2025. Akibatnya, WHO kini sedang menyusun semula struktur organisasinya.
“Penolakan Amerika untuk membayar yuran keahlian bagi 2024 dan 2025, ditambah pula dengan pengurangan bantuan pembangunan rasmi oleh beberapa negara lain, menyebabkan kami berdepan jurang gaji antara AS$560 juta hingga AS$650 juta bagi tempoh 2026 hingga 2027,” ujar Dr. Tedros.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah itu mewakili sekitar 25 peratus daripada kos kakitangan ketika ini, namun menekankan ia tidak semestinya bermaksud akan berlaku pengurangan 25 peratus dalam jumlah jawatan.
WHO yang mempunyai lebih 8,000 kakitangan di seluruh dunia, belum menentukan jumlah sebenar pekerja yang akan terjejas, namun Dr. Tedros mengakui, “kami akan mengucapkan selamat tinggal kepada sejumlah besar rakan sekerja,” sambil berjanji proses itu akan dilakukan secara berperikemanusiaan.
Antara langkah awal, WHO akan mengurangkan jumlah pengurusan kanan di ibu pejabat Geneva daripada 12 kepada tujuh orang, dan mengurangkan bilangan jabatan daripada 76 kepada hanya 34. Pejabat serantau WHO pula akan terjejas pada tahap berbeza-beza, termasuk kemungkinan penutupan pejabat negara di negara-negara maju.
“Ini adalah keputusan yang sangat menyakitkan bagi kami semua,” ujar beliau.
Meskipun berdepan situasi mencabar, Dr. Tedros menegaskan keadaan mungkin lebih buruk sekiranya tiada pembaharuan pembiayaan. Pada 2022, negara anggota bersetuju untuk meningkatkan yuran keahlian dan mengurangkan kebergantungan kepada sumbangan sukarela yang tidak menentu.
“Tanpa peningkatan ini, yuran keahlian bagi tempoh dua tahun semasa hanya akan mencecah AS$746 juta. Tetapi kini kami menjangkakan akan menerima AS$1.07 bilion untuk tempoh 2026 hingga 2027 – meskipun tanpa sumbangan dari AS,” katanya.
Namun begitu, WHO tetap perlu mengurangkan aktivitinya dan menumpukan semula kepada fungsi teras, meskipun dalam keadaan di mana “banyak negara sangat memerlukan bantuan kami,” tambahnya.
Dr. Tedros juga menyelar kesan keputusan pentadbiran AS untuk membubarkan hampir keseluruhan agensi bantuan asingnya, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (Usaid), serta membekukan hampir semua bentuk bantuan, termasuk untuk projek kesihatan di seluruh dunia.
Langkah itu katanya, memberikan kesan yang “amat teruk” kepada negara-negara membangun.
Beliau menegaskan bahawa WHO kini perlu menumpukan usaha untuk membantu negara-negara membangun beralih daripada kebergantungan kepada bantuan luar kepada tahap kebergantungan kendiri yang lebih tinggi.
“Kita perlu melihat ini sebagai peluang untuk memperkukuh daya tahan negara-negara agar mereka lebih berdikari dalam sistem kesihatan mereka sendiri,” katanya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg