Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO usaha percepat akses kit ujian mpox

Aug 30, 2024 | 3:37 PM
Sepanduk memaklumkan tentang mpox di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Indonesia, pada 26 Ogos.
Sepanduk memaklumkan tentang mpox di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Indonesia, pada 26 Ogos. - Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 29 Ogos berusaha untuk mempercepatkan akses kepada ujian diagnostik untuk mpox dengan meminta pengeluar menyerahkan produk mereka untuk semakan kecemasan.

Agensi itu telah berbincang dengan pengeluar tentang keperluan untuk diagnostik yang berkesan terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah.

Untuk meluaskan akses kepada perkhidmatan diagnostik dengan segera, WHO meminta penyerahan daripada pengeluar untuk Penyenaraian Penggunaan Kecemasan yang membolehkannya meluluskan produk perubatan seperti vaksin, ujian dan rawatan.

Proses itu bertujuan membantu negara-negara mendapatkan produk yang sangat diperlukan seperti ujian melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsi lain.

Bentuk baru virus itu telah mencetuskan kebimbangan sejagat kerana ia kelihatan mudah merebak melalui hubungan rapat rutin.

Ini mendorong agensi kesihatan mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam peringkat sejagat pada awal Ogos.

Sweden dan Thailand telah mengesahkan kes virus varian clade Ib di luar Republik Demokratik Congo dan negara jiran.

Dengan 1,000 kes yang disyaki dilaporkan di Congo sahaja, keperluan untuk ujian diagnostik telah meningkat secara mendadak, kata agensi itu.

Dalam beberapa minggu akan datang, ia akan menghulurkan 30,000 lagi kit ujian ke negara-negara Afrika.

WHO turut mengemas kini panduan ujian diagnostiknya, untuk mengesan virus jenis baru dan sedang bekerjasama dengan negara untuk melancarkannya.

Pengeluar diagnostik in vitro telah diminta untuk menyediakan data yang tersedia mengenai mutu, keselamatan dan prestasi ujian, kepada WHO secepat mungkin.

Sebelum ini, firma diagnostik, Labcorp, berkata, ia sedang bekerjasama dengan pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat untuk menentukan sama ada ia perlu meningkatkan kapasiti ujian mpox-nya.

Pengeluar ubat Switzerland, Roche, juga giat meningkatkan kapasiti ujian makmal bagi mpox.

Jerman akan menderma 100,000 dos vaksin mpox daripada bekalan tenteranya bagi membantu membendung wabak itu di benua Afrika dalam masa terdekat, serta memberi bantuan kepada negara yang terjejas, kata jurucakap pemerintah pada 26 Ogos.

Jerman mempunyai kira-kira 117,000 dos Jynneos yang sedang disimpan oleh tentera Jerman selepas Berlin memperolehnya pada 2022. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg