PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pemantauan berkaitan mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emnergency of International Concern – PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu.
KKM dalam kenyataan pada 18 Ogos memaklumkan sebelum ini mpox diisytiharkan sebagai PHEIC buat kali pertama pada 23 Julai 2022 dan berakhir pada 11 Mei 2023.
Semua pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
KKM turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko dan mempunyai gejala seperti ruam atau lepuh pada kulit perlu segera menjalani pemeriksaan di kemudahan kesihatan berhampiran serta mengelakkan kontak dengan individu lain bagi mengekang penularan jangkitan.
Semua pengamal perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta juga perlu memberikan notifikasi kes disyaki dan kes yang disahkan mpox dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.
Selain itu, langkah lain diambil termasuk memastikan makmal bagi pengujian dan diagnostik bersedia serta mempertingkatkan aktiviti kesedaran mpox dan edaran bahan pendidikan kepada kumpulan berisiko dengan kerjasama badan bukan kerajaan di lokasi yang dikenal pasti seperti spa dan sauna.
Buat masa ini terdapat 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta.
KKM memaklumkan akan memastikan premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di samping memastikan tiada pekerja atau pelanggan di premis berkaitan mengalami gejala atau menunjukkan tanda mpox seperti ruam atau lepuh pada kulit.
Peningkatan kes di Congo amat ketara dengan lebih 15,600 kes dan 537 kematian dilaporkan sejauh 2024 ini, melebihi jumlah pada 2023.
Selain itu, terdapat empat negara di Afrika Timur yang melaporkan kes mpox buat kali pertama iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg