NEW DELHI: Sekatan pergerakan Covid-19 di wilayah ibu kota India telah dilanjutkan selama seminggu lagi.
Namun, sekatan tersebut telah dilonggarkan bagi dua sektor utama, iaitu perkilangan dan pembinaan, kata pemerintah negara itu pada Sabtu (29 Mei).
“Sekatan pergerakan, yang akan berakhir pada hari Isnin, kini akan dilaksanakan hingga 7 Jun,” kata seorang jurucakap.
“Syarikat yang menyambung semula perniagaan mereka perlu mematuhi langkah keselamatan Covid-19 dan syif pekerjaan yang berbeza.
“Pekerja di tempat-tempat ini akan diuji secara rambang untuk Covid-19 oleh pihak berkuasa.”
Pada Jumaat lalu, Delhi mencatatkan 1,141 kes Covid-19 baru dan 139 kematian berkaitan, menurut kementerian kesihatannya.
India sedang menyaksikan kebangkitan semula kes-kes Covid-19 dan gelombang kedua wabak ini menimbulkan cabaran bagi negara itu.
Sehingga semalam, India telah mencatatkan sebanyak 27.7 juta kes Covid-19. - Agensi berita