NEW DELHI: Seorang graduan India yang menubuhkan sebuah gerakan secara berseloroh selepas belia negara itu dilabel sebagai “lipas” oleh seorang hakim kanan, kini muncul sebagai simbol kebangkitan generasi muda apabila berjaya memaksa pemerintah Perdana Menteri Narendra Modi memenuhi sebahagian besar tuntutan mereka.

Abhijeet Dipke, 30 tahun, yang mengasaskan Cockroach Janta Party (CJP), mencetuskan gelombang protes besar-besaran selepas kebocoran soalan peperiksaan kemasukan kolej perubatan yang menjejaskan lebih 2.2 juta calon.

Kemuncak perjuangan itu berlaku apabila Menteri Pendidikan India, Encik Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan selepas lebih dua bulan tekanan berterusan daripada gerakan berkenaan.

Sebaik menerima berita itu ketika berada di pentas utama protes di New Delhi, Encik Dipke dilaporkan rebah melutut sebelum menumbuk pentas kerana terlalu terharu.

Beliau kemudian bangkit sambil mengangkat mikrofon dan mengumumkan kejayaan kepada ribuan penyokong.

“Hidup kuasa pelajar! Kita berjaya!” katanya sambil disambut sorakan gemuruh para penunjuk perasaan.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Encik Dipke sebagai ikon baharu golongan muda India yang semakin lantang menuntut pembaharuan sistem pendidikan dan akauntabiliti pemerintah.

Menariknya, hanya beberapa bulan lalu beliau hanyalah seorang pelajar India yang baru menamatkan pengajian sarjana dalam bidang perhubungan awam di Universiti Boston, Amerika Syarikat.

Beliau mengakui kehidupannya ketika itu sekadar diisi dengan mencari pekerjaan, bersenam dan bermain permainan video Fifa di PlayStation.

Perubahan bermula pada 16 Mei lalu apabila Ketua Hakim India, Encik Surya Kant, menggelarkan belia menganggur sebagai “parasit” dan “lipas” ketika mengulas isu pengangguran.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Dipke.

“Saya benar-benar tersinggung dan berasa dihina. Saya tidak menyangka hakim tertinggi negara boleh menggunakan gelaran sedemikian terhadap golongan muda,” kata Encik Dipke.

Sebagai reaksi, beliau memuat naik satu soalan ringkas di platform X: “Bagaimana jika semua lipas bersatu?”

Tanpa diduga, hantaran itu menjadi tular dan menerima jutaan respons daripada rakyat India yang melihatnya sebagai simbol penyatuan golongan muda yang kecewa terhadap keadaan negara.

Dalam tempoh dua hari, Encik Dipke membangunkan laman web menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bersama beberapa rakannya sebelum melancarkan Cockroach Janta Party.

Nama itu dipilih sebagai sindiran terhadap parti pemerintah, Bharatiya Janata Party (BJP), yang dipimpin Encik Modi.

Keahlian dibuka kepada sesiapa sahaja yang menganggap diri mereka “malas”, “menganggur” atau sekadar mahu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan semasa.

Dalam tempoh dua minggu, akaun Instagram CJP meraih lebih 22 juta pengikut.

Momentum gerakan itu bertambah kuat apabila kebocoran soalan peperiksaan kemasukan kolej perubatan mencetuskan kemarahan rakyat.

Peperiksaan yang disertai kira-kira 2.2 juta calon doktor dan doktor gigi itu terpaksa dibatalkan selepas didapati beberapa soalan telah bocor lebih awal.

Kebocoran peperiksaan bukan isu baharu di India, malah sering menimbulkan kemarahan kerana dianggap mencemarkan integriti sistem pendidikan negara.

Pada awal Jun, Encik Dipke pulang dari Amerika Syarikat ke India walaupun mengakui bimbang ditahan atau diserang pihak berkuasa.

“Saya bukan ancaman kepada keselamatan negara. Saya hanyalah rakyat yang cintakan negara ini,” katanya.

Beberapa hari kemudian, beliau bersama ratusan penyokong memulakan demonstrasi aman di Jantar Mantar, sebuah lokasi tradisi bagi perhimpunan awam di New Delhi.

Beliau menggesa peserta mengekalkan pendekatan aman walaupun polis mengawal ketat kawasan itu.

Ramai penunjuk perasaan membawa gambar Mahatma Gandhi dan B.R. Ambedkar sebagai lambang perjuangan tanpa keganasan.

“Gerakan kami aman. Kami hanya mahu perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, polis mendakwa beberapa peserta bertindak agresif ketika cuba berarak menuju bangunan Parlimen.

Pada peringkat awal, pemerintah Modi tidak mengendahkan tuntutan para penunjuk perasaan walaupun protes semakin meluas ke seluruh negara.

Selain pelajar, demonstrasi turut disertai ibu bapa, aktivis masyarakat dan pelbagai kumpulan profesional yang menuntut pembaharuan sistem pendidikan.

Aktivis pendidikan terkenal, Encik Sonam Wangchuk, turut melancarkan mogok lapar selama 26 hari sebagai tanda sokongan terhadap gerakan itu.

Tekanan semakin memuncak selepas tersebar rakaman anggota polis memukul penunjuk perasaan, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.

Pemerintah akhirnya menawarkan rundingan, namun Encik Dipke menolak cadangan supaya pertemuan diadakan di kediaman seorang menteri kanan.

Sebaliknya, beliau menuntut rundingan diadakan di lokasi berkecuali.

Selepas lima hari dan tiga pusingan rundingan, delegasi CJP mencapai persetujuan dengan dua menteri kanan iaitu Encik Jagat Prakash Nadda dan Encik Jitendra Singh.

Pemerintah bersetuju menerima hampir semua tuntutan utama gerakan itu.

Antaranya ialah pemberian pampasan kepada keluarga pelajar yang membunuh diri selepas kebocoran peperiksaan, menarik balik kes terhadap penunjuk perasaan serta membincangkan pelan lima perkara bagi memperbaharui sistem peperiksaan dan pendidikan negara.

Susulan persetujuan itu, CJP mengumumkan penamatan demonstrasi sebagai tanda kepercayaan terhadap komitmen pemerintah.

Walaupun kini menjadi tokoh terkenal dengan ribuan penyokong sanggup beratur hanya untuk bersalaman dengannya, Encik Dipke berkata beliau tidak pernah bercita-cita menjadi ahli politik.

“Saya sebenarnya seorang yang sangat pendiam. Saya lebih suka membaca buku sejarah dan menonton dokumentari.

“Saya mahu perhatian diberikan kepada gerakan ini, bukan kepada diri saya,” katanya.

Beliau turut mengakui ibunya yang tinggal di negeri Maharashtra sering menangis setiap kali mereka berbual melalui telefon kerana bimbang akan keselamatannya.

Encik Dipke juga sedang pulih daripada demam kepialu dan mengelakkan panggilan video supaya ibu bapanya tidak melihat keadaan kesihatannya.

Bagi graduan kejuruteraan, Encik Vijay Solanki, 26 tahun, kejayaan Encik Dipke membuktikan bahawa suara generasi muda masih mampu membawa perubahan.

“Kami semua kecewa, tetapi tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perasaan itu.

“Dialah yang menyatukan pelajar buat kali pertama dan membuatkan kami percaya bahawa suara kami benar-benar didengari,” katanya. - Agensi berita