NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, berjanji memperkenalkan undang-undang baharu bagi mempercepatkan pendakwaan terhadap dalang kebocoran soalan peperiksaan, ketika pemerintah bersiap sedia mengadakan pertemuan dengan pemimpin gerakan belia ‘Cockroach’ yang mengetuai bantahan besar-besaran di seluruh negara.

Janji itu dibuat selepas kemarahan rakyat memuncak susulan beberapa skandal peperiksaan, termasuk kebocoran kertas peperiksaan kemasukan ke fakulti perubatan serta masalah sistem pemarkahan dalam talian bagi peperiksaan sekolah menengah.

Gerakan Cockroach Janta Party (CJP), yang berkembang menerusi media sosial, menjadi penggerak utama protes dan menuntut Menteri Pendidikan, Encik Dharmendra Pradhan, meletak jawatan kerana didakwa gagal memastikan integriti sistem peperiksaan negara.

Jurucakap CJP, Encik Saurav Das, berkata pihaknya berharap pemerintah benar-benar bersedia mendengar suara rakyat dalam pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai.

“Kami berharap pemerintah hadir dengan fikiran terbuka dan mendengar suara rakyat yang sudah sekian lama turun ke jalan raya.

“Kami akan menjelaskan tuntutan kami secara terperinci dan berharap kerajaan memberi perhatian terhadapnya,” katanya kepada pemberita.

Dalam hantaran di media sosial lewat malam tadi, Encik Modi berkata Kabinet akan membincangkan langkah mempercepatkan proses mahkamah terhadap individu yang terbabit dalam kebocoran peperiksaan.

Beliau berkata rang undang-undang baharu itu akan dimuktamadkan selepas mengambil kira pandangan anggota Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

“Kami akan berusaha sedaya upaya supaya rang undang-undang ini dapat dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen seawal mungkin,” katanya.

Campur tangan Encik Modi dilihat sebagai usaha meredakan tekanan yang semakin meningkat daripada penunjuk perasaan dan pertubuhan masyarakat sivil yang mendesak pembaharuan menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan peperiksaan negara.

Aktivis terkenal, Encik Sonam Wangchuk, yang menamatkan mogok lapar selama 26 hari lewat semalam sebagai tanda sokongan kepada gerakan itu, berkata pemerintah memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap peserta demonstrasi aman.

“Mereka juga memberi jaminan bahawa Parlimen akan mengadakan perbahasan penuh mengenai isu ini serta langkah meningkatkan akauntabiliti dalam sistem pendidikan dan peperiksaan,” katanya menerusi media sosial.

Gelombang bantahan semakin memuncak pada 20 Julai lalu apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan di New Delhi, yang disifatkan sebagai demonstrasi jalanan terbesar di ibu negara itu dalam tempoh lima tahun.

Pengasas CJP, Encik Abhijeet Dipke, mengalu-alukan keputusan Encik Wangchuk menamatkan mogok laparnya, namun menegaskan perjuangan mereka belum berakhir.

Beliau berkata gerakan itu akan meneruskan kempen sehingga Menteri Pendidikan meletak jawatan.
“Dengan mempertaruhkan nyawa sendiri, anda telah menyedarkan hati nurani seluruh negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Protes berkenaan kini dianggap antara cabaran politik terbesar yang dihadapi Encik Modi sejak beliau memenangi penggal ketiga sebagai Perdana Menteri pada 2024.

Penganalisis melihat isu kebocoran peperiksaan bukan lagi sekadar masalah pentadbiran, sebaliknya telah berkembang menjadi simbol kemarahan generasi muda terhadap sistem pendidikan yang dianggap gagal menjamin keadilan dan ketelusan. – AFP