NEW DELHI: Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, berjanji mengenakan “hukuman paling tegas” terhadap pihak yang terbabit dalam penipuan peperiksaan, selepas kemarahan pelajar mencetuskan antara protes belia terbesar sejak beliau berkuasa pada 2014.

Dalam kenyataan pertamanya mengenai bantahan itu, Encik Modi berkata kebajikan dan masa depan golongan muda menjadi keutamaan pemerintahannya.

“Tiada yang lebih penting daripada kebajikan dan masa depan belia kita,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada 23 Julai.

Beliau turut berjanji menubuhkan mahkamah khas yang dapat mempercepat perbicaraan kes kebocoran kertas soalan dan penipuan berkaitan peperiksaan.

“Mereka yang cuba merosakkan masa depan belia kita tidak akan terlepas,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas ribuan penunjuk perasaan yang dipimpin gerakan Cockroach Janta Party (CJP) berhimpun di New Delhi, sebelum tercetus pertempuran baharu dengan polis.

Penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan golongan muda menuntut Menteri Pendidikan, Encik Dharmendra Pradhan, meletak jawatan susulan beberapa kebocoran kertas peperiksaan yang menjejas jutaan calon.

Lebih 10,000 orang dianggarkan berkumpul di tapak bantahan Jantar Mantar di tengah New Delhi.

Mereka melaungkan slogan, mengibarkan bendera India dan berikrar meneruskan bantahan sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Polis berkata beberapa penunjuk perasaan kemudian membaling batu dan botol plastik ke arah anggota keselamatan.

Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan kumpulan kecil penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang menggunakan belantan dan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas rakaman tersebut.

Menurut polis, beberapa anggota keselamatan cedera dan dibawa ke hospital.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 178 orang, termasuk anggota polis, dilaporkan cedera dalam keganasan sepanjang bantahan minggu ini.

Protes itu mula membesar pada 20 Julai apabila puluhan ribu peserta cuba berarak menuju ke Parlimen pada hari pertama sidang monsun.

Perarakan berkenaan diadakan walaupun terdapat larangan berkumpul.

Polis dan pasukan separa tentera menggunakan gas pemedih mata serta belantan untuk menghalang peserta daripada menghampiri bangunan Parlimen.

Sebahagian penunjuk perasaan membalas dengan membaling batu, menyebabkan pertempuran jalanan terbesar di ibu negara India dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Bagi mengawal keadaan, pihak pengendali Metro Delhi menutup 16 stesen di sekitar pusat New Delhi sehingga dimaklumkan kelak. Ia merupakan penutupan besar-besaran kedua dalam minggu yang sama atas sebab keselamatan.

Gerakan CJP pada asalnya muncul sebagai gerakan satira dalam talian pada Mei lalu dan hanya disertai beberapa ratus anak muda.

Namanya tercetus selepas Ketua Hakim Negara India, Encik Surya Kant, dilaporkan membandingkan golongan muda dengan ‘lipas’ dan ‘parasit’ dalam satu perbicaraan mahkamah.

CJP kemudian berkembang menjadi gerakan lebih besar dengan jutaan pengikut di media sosial.

Selain isu kebocoran peperiksaan, gerakan itu turut membangkitkan masalah pengangguran, kekurangan peluang untuk golongan muda dan apa yang disifatkannya sebagai corak pemerintahan Encik Modi yang semakin bersifat autoritarian.

Pengasas CJP, Encik Abhijeet Dipke, berkata gerakan itu tidak akan menghentikan bantahan selagi Menteri Pendidikan belum meletak jawatan.

“Sudah 25 hari kami berada di sini. Walaupun mengambil masa 25 bulan, kami boleh menerimanya, tetapi kami tidak akan berganjak dari sini,” katanya ketika berucap kepada penunjuk perasaan.

Kemarahan tercetus selepas beberapa kelemahan besar dalam sistem peperiksaan India menjejas keyakinan orang ramai.

Antaranya ialah kebocoran kertas peperiksaan kemasukan bidang perubatan yang menyebabkan lebih dua juta calon terpaksa menduduki semula ujian tersebut.

Satu lagi pertikaian melibatkan sistem pemarkahan dalam talian bagi peperiksaan yang diduduki hampir dua juta pelajar sekolah menengah turut memburukkan kemarahan masyarakat.

Sebagai tindak balas, pemerintah sudah mengadakan satu pusingan rundingan dengan pemimpin CJP dan memberi jaminan bahawa tuntutan mereka akan dipertimbangkan.

Pemerintah turut menawarkan supaya isu itu dibahaskan di Parlimen serta berjanji melaksanakan pembaharuan terhadap sistem peperiksaan.

Bagaimanapun, penunjuk perasaan dan parti pembangkang menegaskan peletakan jawatan Encik Pradhan kekal menjadi tuntutan utama.

Pemimpin Parti Kongres, Encik Rahul Gandhi, mengetuai bantahan di luar kediaman Encik Modi dan bangunan Parlimen.

Beliau berkata peletakan jawatan Menteri Pendidikan “tidak boleh dirunding” dan parti pembangkang akan menentukan langkah selanjutnya di Parlimen.

Kebangkitan CJP memberi peluang kepada pembangkang untuk meningkatkan tekanan terhadap Encik Modi dan Parti Bharatiya Janata (BJP), khususnya kerana pengundi muda selama ini menjadi antara kumpulan sokongan utama parti pemerintah.

Protes tersebut juga menjadi cabaran besar kepada Encik Modi sejak beliau memenangi penggal ketiga pada 2024, apabila BJP gagal memperoleh majoriti mutlak di Parlimen dan terpaksa bergantung pada sokongan parti sekutu untuk membentuk pemerintah. – Agensi berita.