BEIJING: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, pada 24 November telah mengadakan rundingan pertama mereka sejak bersetuju dengan perjanjian tarif pada Oktober, bagi membincangkan soal perdagangan, isu Taiwan dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Encik Trump menyifatkan panggilan telefon itu sebagai “amat baik” dan mereka juga membincangkan soal pembelian kacang soya dan produk ladang lain serta mengekang penghantaran fentanil haram.
Pemimpin Amerika itu menambah bahawa beliau bersetuju untuk melawat Beijing pada April dan telah mengundang Encik Xi bagi lawatan negara pada 2026.
“Hubungan kami dengan China sangat kukuh. Terdapat kemajuan yang ketara antara kedua-dua belah pihak dalam memastikan perjanjian kami terkini dan tepat.
“Sekarang kami boleh beri tumpuan kepada gambaran lebih besar,” tambah beliau.
Encik Xi memberitahu Encik Trump bahawa kepulangan Taiwan ke pangkuan China adalah bahagian penting dalam mencapai ketenteraman antarabangsa pasca-Perang Dunia Kedua, ujar kenyataan Kementerian Luar China.
Pemimpin China itu juga berkata kedua-dua negara harus mengekalkan rentak positif yang dijana semasa pertemuan Oktober mereka di Korea Selatan dan mengembangkan kerjasama, kata kenyataan itu.
Menurut kementerian tersebut, mereka turut menyentuh soal pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dan Encik Xi melahirkan harapan agar kedua-dua pihak dapat mencapai perjanjian damai yang mengikat.
Pertikaian berterusan antara Jepun dengan China yang berpusat sekitar isu Taiwan mengancam menyuntik ketegangan baru dalam hubungan Encik Trump dan Encik Xi.
Ia dikhuatiri boleh merumitkan hubungan selepas dua ekonomi terbesar dunia mencapai perjanjian dagangan pada Oktober. Jepun merupakan sekutu utama Amerika di Asia.
Perjanjian itu menyaksikan Washington menurunkan tarif berkaitan fentanil ke atas barangan China, dengan Beijing bersetuju menghapuskan sekatan tertentu ke atas eksport nadir bumi.
Sebarang pergolakan antara Amerika dengan China boleh menyebabkan ketidakpastian selanjutnya bagi pasaran dan pemimpin perniagaan.
Perdana Menteri Jepun yang baru, Cik Sanae Takaichi, berkata pada awal November serangan hipotetikal China ke atas Taiwan boleh mengakibatkan tindak balas ketenteraan dari Tokyo.
Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya sendiri dan telah mengecam kenyataan Cik Takaichi, menuntut penarikan balik.
Sejak itu, China telah mengeluarkan nasihat larangan perjalanan ke Jepun, menggantung tayangan beberapa filem dan mengharamkan import makanan laut Jepun.
Kedua-dua negara juga telah meningkatkan latihan ketenteraan, dengan China mengumumkan rondaan di Laut China Timur dan Jepun mengumumkan rancangan menempatkan peluru berpandu ke kawasan berhampiran Taiwan.
Encik Trump berkata dalam temu bual 2 November dengan rancangan, 60 Minutes CBS News, bahawa Encik Xi “memahami jawapannya” apabila ditanya sama ada tentera Amerika akan mempertahankan Taiwan sekiranya berlaku serangan China.
Pemimpin Amerika itu berkata perkara itu tidak dibangkitkan semasa mesyuarat mereka pada Oktober.
Amerika dan China masih merundingkan butiran penting mengenai bagaimana Beijing akan membebaskan jualan nadir bumi, menurut pegawai yang dekat dengan perkara itu.
Kedua-dua negara berhasrat bersetuju dengan syarat “lesen am” yang dijanjikan China untuk ditawarkan bagi eksport nadir bumi dan mineral kritikal ke Amerika menjelang akhir November.
Meskipun perbincangan mengenainya masih dalam keadaan tidak menentu, namun Amerika telah bertindak dengan menarik balik tarif dan langkah keselamatan negara.
Kekurangan bekalan nadir bumi telah menyebabkan industri sejagat – termasuk automotif, barangan pengguna dan robotik – berisiko mengalami gangguan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg